suria

Richard Branson Rancang Selam Ke Lautan Paling Dalam Di Dunia

LOS ANGELES: Pemilik dan pengasas Kumpulan Virgin, Richard Branson yang sememangnya dikenali sebagai seorang penjelajah yang gemar melakukan pelbagai pengembaraan berbahaya kini merancang untuk menyelami dasar laut paling dalam di dunia.

Beliau bercadang untuk melakukan eksplorasi itu menggunakan sebuah kapal selam berkuasa enjin jet.

Kapal selam sepanjang 18 kaki itu, menurut Branson berkemampuan menyelam sehingga 11,000 meter di bawah paras laut.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Pantai Newport, California, Selasa.

Projek itu beliau namakan "Virgin Oceanic" dan dijangka akan melakukan lima percubaan menyelam ke dasar paling dalam itu dalam tempoh dua tahun.

Percubaan pertama akan dilakukan pada penghujung tahun ini di Jurang Mariana di Lautan Pasifik yang sedalam 10,972 meter.

Branson kemudian merancang untuk melakukan percubaan kedua dengan memandu sendiri kapal selam tersebut di Jurang Puerto Rico di Lautan Atlantik.

Lain-lain jurang yang akan di jelajah oleh Branson dan pasukannya ialah Molloy Deep di Lautan Artik, Jurang Sandwich Selatan di Laut Selatan dan Diamantina di Lautan India.

Branson juga berkata, beliau menjangkakan projek penjelajahan itu akan menelan belanja sekitar AS$10 juta.

Malah beliau menjangkakan, suatu hari kelak mungkin syarikatnya Virgin Oceanic boleh membawa pelancong mengembara ke lautan dalam.

Artikel Berikut

Artikel Lain