suria

Asean Sedia Bantu Myanmar

JAKARTA: Asean sudah bersiap sedia untuk membantu Myanmar, ekoran kejadian gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter yang melanda wilayah Shan di negara itu Khamis lepas.

Wakil Tetap Myanmar ke Asean, U Nyan Lynn berkata beliau menerima ucapan takziah serta sokongan padu dari Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan sendiri dalam pertemuannya dengan Dr Surin di pejabat Sekretariat Asean pada Isnin.

"Saya juga menerima banyak panggilan telefon, e-mel dan pesanan teks dari Wakil Tetap lain-lain negara Asean," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Asean di sini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua mereka yang mengambil berat mengenai Myanmar, dan kami amat menghargai segala tawaran dan bantuan yang dihulurkan," tambahnya.

Menurut kenyataan itu negara-negara anggota Asean bersama Indonesia sebagai pengerusi semasa perkumpulan itu, sebulat suara menyampaikan ucapan takziah buat Myanmar, di samping menawarkan pelbagai bentuk bantuan.

Thailand sebagai contoh menawarkan untuk menyumbang bantuan tunai awal 3 juta baht.

"Kerajaan Myanmar bertindak pantas, menghantar petugas Jawatankuasa Pusat Persediaan Bencana Nasional ke kawasan bencana dalam tempoh 24 jam dan mereka menghantar pelbagai barang keperluan termasuk khemah, makanan, perubatan, selimut dan pakaian kepada mangsa pada hujung minggu lalu.

"Bagaimanapun kami akan terus bersiap sedia dengan sebarang keperluan yang mungkin ia perlukan di masa akan datang," kata Dr Surin.

Dalam pertemuan itu Lynn memaklumkan kepada Dr Surin bahawa sehingga kini jumlah yang terbunuh dalam bencana itu menjangkau 74 orang, manakala jumlah yang mengalami kecederaan 120 orang.

Bencana itu mengakibatkan 390 orang kehilangan tempat tinggal, di samping merosakkan 10 pejabat kerajaan serta 26 tempat keagamaan, dan gegaran dilaporkan dapat dirasakan sehingga di Laos, Thailand dan Vietnam.

Myanmar sebelum ini pernah dilanda bencana dahsyat apabila Taufan Nagris melanda pada tahun 2008 mengakibatkan 140,000 orang terbunuh atau hilang, dan Oktober lepas pula menyaksikan keganasan Taufan Giri mengakibatkan 104,000 orang kehilangan rumah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain