suria

Banjir Dan Kemarau Landa Thailand

BANGKOK: Thailand kini dilanda banjir kilat di bahagian selatan dan kemarau di utara, dengan dua biarawan menjadi korban pertama pada Sabtu.

Ketua Pegawai Daerah Ta-Khanom Palakorn Boonprakong berkata dua biarawan yang maut dalam banjir kilat di daerah Ta-Khanom dalam wilayah Suratthani dikenalpasti sebagai Pattaraporn Jeerawara, 50, dan Apichart Akathammo (umur tidak diketahui).

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, beberapa daerah di wilayah Phattalung, Suratthani, Trang, Chumporn dan Nakkhon Si Thammarat kini dilanda banjir kilat.

Lima lagi wilayah Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satoon diletak dalam keadaan berjaga-jaga sehingga Isnin berikutan kemungkinan berlaku banjir ekoran hujan lebat yang berterusan sejak Rabu.

Sepuluh daerah di Phattalung kini ditenggelami air sedalam 1.2 meter dengan tanah runtuh dilapor berhampiran kawasan bukit Bantat dan 16,000 hektar kawasan pertanian di wilayah itu dilanda banjir, kata laman web itu.

Laman web itu berkata pesakit di hospital daerah Ta-Sala di wilayah Suratthani dipindah ke hospital lain berikutan banjir dan daerah Mueng di wilayah itu juga kini ditenggelami air sedalam satu meter.

Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Pemulihan Bencana hari ini mengisytiharkan 354 daerah di 47 wilayah sebagai zon bencana kemarau.

Ketua Pengarahnya Wibul Sanguanpong berkata 17 wilayah itu di utara, 15 di timur laut, tujuh di timur, lima di tengah, dan tiga di selatan.

Thailand mempunyai 77 wilayah.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain