suria

Rusia Melihat Palestin dan Tebing Barat Sebagai Destinasi Pelaburan Masa Depan

JERICHO (Wilayah Pentadbiran Palestin): Rusia yang melihat Palestin dan Timur Tengah sebagai destinasi pelaburan luar masa depan para usahawannya akan merintis pelan perdamaian baru Palestin-Israel.

Presiden Rusia, Dmitry Medvedev pada Selasa dijadualkan bertemu dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas bagi merintis jalan bagaimana mereka dapat membantu merencanakan pelan perdamaian antara Israel dengan Palestin.

Ini adalah lawatan negara yang pertama buat presiden Rusia itu ke wilayah Palestin.

Medvedev juga dijadualkan bertemu dengan Raja Jordan, Raja Abdullah di Amman lusa (Rabu) untuk membincangkan isu perdamaian Israeli-Palestin.

Lawatan kerja Medvedev ke Palestin dan Israel itu diiringi oleh lebih 600 orang delegasi - termasuk separuh daripadanya para usahawan Rusia.

Persinggahan mereka yang pertama ialah ke bandar tertua di dunia iaitu Jericho, yang terletak di Tebing Barat dan ditadbir oleh Palestin. Pertemuan dengan Mahmud Abbas akan berlangsung di Jericho.

Presiden Rusia itu juga dijadualkan membuka sebuah muzium yang dibina atas dana dari Rusia.

Rusia, yang pada asalnya memang merupakan salah sebuah negara yang terlibat secara langsung dengan rundingan damai Arab-Israel selain Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) secara tradisionalnya cuba bersaing dengan Amerika untuk menjadi broker kuasa di rantau itu.

Rundingan damai Palestin-Israel terbantut di tengah jalan apabila Israel enggan meneruskan pembekuan ke atas petempatan baru di Tebing Barat yang menjadi isu besar kepada Palestin.

Pihak berkuasa Palestin berkeras dengan mengatakan mereka enggan meneruskan rundingan selagi Israel tidak menghalang pencerobohan ke atas tanah di Tebing Barat oleh para pendatang Yahudi yang tiba dari serata Eropah dan dunia untuk bermastautin di wilayah yang diduduki itu.

Artikel Lain