suria

Malaysia Harap Kerajaan Filipina Dan MILF Jayakan Proses Damai

COTABATO CITY: Malaysia berharap Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dapat segera menjayakan proses damai bagi membolehkan wilayah Mindanao menikmati kemakmuran dan kesejahteraan setelah sekian lama bergolak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan pertemuannya dengan pihak kerajaan Filipina dan MILF, kedua-dua pihak dilihat komited untuk menjayakan proses damai berkenaan.

"Bagi Malaysia, kita berharap kerajaan Filipina mengambil pendekatan bahawa masalah di Mindanao bukan hanya boleh diselesaikan menerusi ketenteraan tetapi juga menerusi program-program pembangunan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas majlis penyampaian bantuan sumbangan kemanusiaan Malaysia untuk masyarakat setempat di sini, Selasa.

Sumbangan itu sebahagian besar berbentuk makanan kering yang akan diagihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan sempena bulan Ramadan ini.

Katanya penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pasukan Pemantau Antarabangsa-Mindanao (IMT) yang bermula sejak 9 Disember 2004, dilihat akan dapat membantu menjayakan proses damai berkenaan.

"Peranan ATM bukan sekadar memantau proses damai tetapi juga menjalankan kerja-kerja sosial membantu penduduk setempat," katanya.

Terdahulu dalam lawatan seharinya ke Mindanao hari ini, Ahmad Zahid diberikan taklimat berhubung operasi ATM di Mindanao oleh Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa-Mindanao Mej Jen Datuk Baharum Hamzah.

Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pasukan Pemantau Antarabangsa-Mindanao bertujuan untuk memantau genjatan senjata dan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF yang dimeterai pada 22 Jun 2001.

Ahmad Zahid kemudiannya turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi MILF, Murat Ebrahem.

"Sebagai negara yang terlibat dalam memantau proses damai ini, kita perlu dengar pandangan kedua-dua pihak, semalam saya bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin di Manila dan hari ini kita bertemu pihak MILF," katanya.

Ahmad Zahid berkata proses damai berkenaan dilihat penting kerana ianya juga akan memberi kesan kepada soal keselamatan di perairan sempadan Malaysia-Filipina.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vanuatu Dilanda Gempa Bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain