suria

Hun Sen Salah Tafsir Kenyataan Saya, Kata Abhisit

BANGKOK: Bangkok akan menjelaskan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB mengenai dakwaan Phnom Penh kononnya Thailand mengancam untuk mengenakan tindakan ketenteraan dalam menyelesaikan isu sempadan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva hari ini berkata rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen tersalah tafsir kenyataanya semalam berhubung isu tersebut.

"Kementerian Luar Thailand akan menghantar surat kepada dua badan dunia itu untuk memberi penjelasan mengenai pendirian Bangkok berhubung isu sempadan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

"Adalah jelas sekali yang kerajaan Kemboja cuba memberikan gambaran yang buruk terhadap imej kerajaan Thailand, kononnya Thailand akan menggunakan tindakan ketenteraan," tambahnya.

Hun Sen semalam menghantar surat kepada PBB dan Majlis Kesalamatan PBB untuk mengutuk Thailand yang didakwanya sudah bersiap sedia untuk mengenepikan sebarang peraturan di sempadan yang menjadi pertikaian antara kedua negara itu.

Dalam suratnya Perdana Menteri Kemboja itu berkata Thailand mencabuli keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa apabila ia mengekalkan tenteranya di pagoda Keo Sikkhakiri Svara di Kemboja, yang terletak hanya kira-kira 300 meter dari kuil purba Preah Vihear, di dalam kawasan milik Kemboja.

Hun Sen turut mendakwa Thailand "dengan ketara mencabuli" Piagam PBB dengan mengancam untuk menggunakan tindakan ketenteraan.

Beliau yang memberi jaminan akan mengelak sebarang tindakan ketenteraan di pihaknya, meminta supaya Presiden Perhimpunan Agung PBB Ali Abdussalam Treki dan Presiden Majlis Keselamatan PBB Vitaly Churkin untuk mengedar surat kepada semua anggota PBB untuk memberi penjelasan berhubung perbalahan kedua-dua negara berhubung isu sempadan itu.

Thailand mendakwa kawasan yang menjadi pertikaian itu adalah sebahagian daripada daerah Si Sa Ket Karntharalak, manakala Kemboja berkata ia adalah sebahagian daripada wilayah Preah Vihear miliknya.

Abhisit berkata kerajaan akan menggunakan cara diplomatik bagi menangani isu itu, dan tindakan ketenteraan adalah jalan penyelesaian terakhir dalam melindungi kedaulatan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Suthep Thaugsuban hari ini menafikan dakwaan Phnom Penh yang pasukan tentera Thailand sudah menghampiri wilayah Kemboja.

Menteri Pertahanan Thailand Jen Prawit Wongsuwon pula berkata sempadan Thailand-Kemboja dalam keadaan biasa, tanpa ada sebarang pengunaan tindakan ketenteraan.

Kuil kurun ke-11 itu terletak di dalam wilayah Kemboja sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 1962, dan Unesco menyenaraikan ia sebagai tapak warisan sejarah pada 2008, yang mencetus perbalahan antara kedua negara. - BERNAMA

Artikel Lain