suria

Tiada Masalah Persempadanan Malaysia- Thailand - Zahid

BANGKOK: Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand di sini hari ini berjalan dengan lancar ekoran tiada masalah persempadanan yang besar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut berkata, ketiadaan masalah persempadanan yang besar itu merupakan signifikan dalam hubungan dua hala Malaysia-Thailand.

"Malah pembinaan jambatan muhibah menghubungkan kedua-dua negara menunjukkan manifestasi hubungan dua hala yang baik," katanya kepada pemberita di sini.

Mengenai Selatan Thailand, Malaysia bersedia membantu melatih pemimpin organisasi, agama dan pelajar mendapatkan latihan dan pendidikan di Malaysia, katanya.

Beliau berkata di bidang ekonomi, Malaysia membantu penduduk wilayah tersebut dengan bantuan mikro kredit untuk usahawan kecil menjalankan aktiviti ekonomi mereka.

Malaysia, katanya, turut menggalakkan pelaburnya melabur di wilayah selatan Thailand dan menyediakan latihan sambil bekerja kepada para penduduk wilayah itu.

Dr Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Thailand juga akan meneruskan pertukaran risikan antara kedua-dua negara agar masalah keselamatan di sempadan dapat diatasi terutamanya membabitkan keganasan dan jenayah.

Mengenai kajian semula perjanjian sempadan kedua-dua negara ekoran perjanjian sedia ada sudah lama iaitu sejak 1904, beliau percaya ianya akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

Kajian semula itu antara lain menyentuh mengenai soal persempadanan, menyeberangi sempadan dan penempatan pasukan keselamatan kedua-dua negara di kawasan zon penampan.

Beliau berkata batu sempadan antara kedua-dua negara sudah banyak ditandakan kecuali di Bukit Jeli yang masih dalam proses peletakan batu sempadan.

Perbincangan mengenai kemudahan menyeberangi sempadan tertumpu kepada usaha untuk membolehkan penduduk sempadan kedua-dua negara mengunakan dokumen pengenalan negara masing-masing tanpa menggunakan pasport untuk menyeberangi sempadan dalam radius yang tertentu, katanya.

Dr Ahmad Zahid turut menyatakan kegembiraannya ekoran keadaan keamanan di Thailand sudah pulih terutamanya di Bangkok.

"Bukan bermaksud untuk mencampuri urusan dalaman negara ini tetapi penyelesaian masalah tersebut memberikan kelegaan kepada negara jiran seperti Malaysia," katanya.

Malaysia merupakan rakan dagang keempat terpenting Thailand dengan nilai dagangan mencecah US$17 bilion setahun.

Dr Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva di Bangunan Parlimen, di sini, dan Menteri Pertahanan Thailand General Prawit Wongsuwan di Kementerian Pertahanan di sini.

Katanya pada pertemuan itu, Perdana Menteri Thailand memaklumkan yang beliau sudah membuat persediaan untuk menghadiri rundingan tahunan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Malaysia akhir tahun ini.

Abhisit gembira dengan perkembangan hubungan Malaysia-Thailand dan tidak ada masalah besar dalam hubungan dua hala itu, katanya.

"Suasana perbincangan tadi macam perbincangan adik-beradik. Boleh cerita pasal motosikal lagi," kata Dr Ahmad Zahid yang memang minat menunggang motosikal berkuasa tinggi. -BERNAMA

Artikel Lain