suria

Piagam Asean Capai Kejayaan Namun Masih Banyak Perlu Dilakukan

JAKARTA: Asean mencatatkan banyak kejayaan dalam setahun yang lepas sejak Piagam Asean dikuatkuasakan, namun lebih banyak yang perlu dilakukan dalam tahun-tahun mendatang sebelum rantau ini memenuhi impian para Pemimpin Asean ke arah Komuniti Asean yang bersepadu menjelang 2015.

Sentimen ini disuarakan oleh tiga anggota panel Forum Dasar Sekretariat Asean kali kedua bertajuk "Piagam Asean: Setahun Telah Berlalu", yang diadakan di Sekretariat Asean di sini hari ini.

Panel itu terdiri daripada Tun Musa Hitam, Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka berhubung Piagam itu, Duta Rosario G. Manalo dan Duta Tommy Koh, keduaduanya Pengerusi Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi dalam Penyediaan Piagam itu.

"Kesemua mereka berkongsi pandangan bersama kirakira 300 jemputan mengenai bukan sahaja pengalaman mereka dalam proses menyediakan Piagam itu tetapi juga tahap pencapaian Asean sejak setahun yang lepas susulan kepada penguatkuasaan Piagam Asean pada 15 Dis 2008," kata Sekretariat Asean yang berpusat di Jakarta dalam kenyataan yang dikeluarkan di akhir forum itu.

Anggota panel terbabit secara umum berkongsi pandangan bahawa Piagam itu, yang diterima pakai tahun lepas oleh kesemua 10 negara anggota perkumpulan serantau itu, mendatangkan manfaat kepada Asean.

"Saya ingin berhujah bahawa Piagam ini secara substantif adalah sebuah dokumen baru dan telah pun memberi kesan ke atas Asean," Duta Koh dipetik sebagai berkata, ketika menyangkal kritikan yang menyifatkan Piagam Asean sebagai harimau tidak bertaring.

Duta Manalo turut positif berhubung kesan Piagam berkenaan sehingga kini, dengan berkata Piagam itu tidaklah sempurna dalam bentuk dan kandungan semasa, namun ia telah membawa Asean ke suatu tahap baru.

Duta Koh dan Duta Manalo turut memuji banyak pencapaian yang dilakukan sejak Piagam itu dikuatkuasakan, satu daripadanya ialah penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), yang dilancarkan oleh para pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-15 di Thailand pada Oktober 2009.

Menyifatkannya sebagai satu "proses evolusi", mereka berkata AICHR perlu melakukan evolusi pada kadar yang selesa kepada semua anggota dalam keluarga Asean, dan ia akan bermula dengan pendidikan serta mempromosikan hak asasi manusia dan beransuransur menerima lebih banyak tugas perlindungan yang lebih mencabar.

Beberapa pencapaian lain yang menyusuli Piagam Asean, seperti penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Tetap (CPR) ke Asean berpusat di Jakarta, yang akan menyelaraskan pelbagai isu membabitkan Asean, dan pembabitan lebih meluas oleh anggota parlimen, kalangan perniagaan, pertubuhan masyarakat madani dan belia dalam menjadikan Asean sebuah pertubuhan yang mesra rakyat turut mendapat pujian.

"Bagaimanapun, anggota panel turut menggesa agar Asean melakukan lebih banyak lagi berhubung isu sosial," kata kenyataan itu lagi.

Menyifatkan pendidikan sebagai sebuah daya penyamaan dan Asean seharusnya menyokong pembelajaran bahasa Asean serta pertukaran pelajar, Duta Manalo turut memperkatakan mengenai tahap kejayaan Asean dalam bidang berkenaan.

Isu pendidikan turut berada di fikiran Musa, yang menyuarakan keprihatinan mengenai keadaan yang berkemungkinan berlaku apabila sejumlah besar golongan muda di rantau ini mempunyai pendidikan tetapi tiada pekerjaan.

"Asean perlu memberi keutamaan kepada keperluan sumber manusia di wilayah ini dan mengelolakan kandungan dalam pembelajaran kita," katanya seperti yang dipetik dalam kenyataan itu.

Isu sosial lain seperti kesihatan, alam sekitar, pengurusan bencana dan pergerakan buruh dalam lingkungan Asean, turut diketengahkan sebagai bidang penting untuk diberikan tumpuan oleh Asean. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain