suria

Universiti Perubatan Antarabangsa Bakal Dibina Di Perak

LONDON: Sebuah universiti perubatan antarabangsa, menerusi kerjasama dengan beberapa universiti terkenal terutamanya dari India akan dibina di Perak tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini semalam.

Beliau berkata projek berkenaan akan melibatkan jumlah pelaburan antara RM7 bilion hingga RM8 billion yang telah dirancang menerusi inisiatif swasta dan kerajaan negeri akan mempunyai ekuiti dalam projek tersebut.

"Ia seperti (universiti) konsortium. Pada mulanya syarikat yang berpangkalan di Malaysia akan melabur RM300 juta. Kita berharap mereka boleh memulakan operasi menjelang tahun depan dengan jumlah pengambilan minimum.

"Mereka (pelajar) boleh mengambil kursus prauniversiti terlebih dahulu," katanya pada majlis perjumpaan dengan pelajar Malaysia yang sedang belajar di United Kingdom, di King College di sini. Zambry berkata kerajaan negeri telah memperuntukan kawasan seluas 120 hektar di Gua Tempurung berhampiran Ipoh bagi syarikat berkenaan membina universiti itu.

"Selepas keseluruhan projek siap, kita percaya ia boleh menampung 10,000 pelajar dari seluruh dunia. Kita berharap untuk memberi lebih ramai orang peluang belajar di dalam bidang perubatan," katanya. Mengenai usaha membasmi kemiskinan di Perak, Zambry mmberitahu para pelajar bahawa kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Pada asasnya, kita akan menukar daripada ekonomi agro kepada ekonomi berasakan perkhidamatan," katanya dan menambah kerajaan akan melihat isu membasmi kemiskinan secara serius.

"Kita akan menangani kemiskinan. Ia bukan sahaja mengenai orang miskin atau miskin tegar. Kita kena tengok juga ada yang asalnya bukan miskin, tiba-tiba jadi miskin, ada yang mudah jadi miskin seperti ibu tunggal.

"Orang seperti ini hidup mereka asalnya elok, tiba-tiba suami meninggal dunia. Kita perlu melihat ini menerusi cara baru. Kita perlu ada model ekonomi untuk orang miskin," katanya.

Ditanya oleh seorang pelajar kenapa kerajaan gagal membasmi kemiskinan walaupun beberapa program telah dirancang untuk itu, Zambry berkata beliau tidak bersetuju bahawa program kerajaan telah gagal sebaliknya berjaya tetapi kerajaan tidak mempunyai banyak peruntukan.

Selepas pertemuan dengan para pelajar itu, beliau mengadakan pertemuan pula dengan anggota Kelab Umno United Kingdom dan kanak-kanak Perak di United Kingdom di Malaysia Hall di sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain