suria

210 Pati Thailand Dihantar Pulang Hari ini

SADAO: Seramai 210 pendatang tanpa izin (PATI) Thailand dihantar pulang hari ini, melalui program pengampunan sempena hari keputeraan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) Malaysia, Che Din Yusoh berkata penghantaran itu merupakan kali ketiga dilakukan sepanjang tahun ini, membabitkan 520 PATI yang ditahan di Depot Imigresen seluruh negara.

"Penghantaran pertama ialah pada awal tahun membabitkan 150 PATI sempena hari hari keputeraan Permaisuri Thailand, manakala yang kedua dilakukan Ogos lalu melibatkan 160 PATI.

"Proses penghantaran ini dilakukan hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Thailand, kos penghantaran ditanggung oleh kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Penyerahan yang dilakukan oleh Che Din berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand merangkap wakil rakyat Songkhla, Thawom Senneam.

Che Din berkata, pihak Imigresen akan meneruskan program penghantaran seumpama itu, sekiranya ada permohonan daripada kerajaan Thailand.

"Sebelum proses penghantaran, kerajaan Thailand telah menghantar pasukan khas untuk melakukan pemilihan bagi memastikan tahanan yang dihantar pulang benar-benar warganegara itu, kerana ada kes PATI dari negara lain seperti Myanmar, mengaku mereka orang Thailand.

"Dengan penghantaran pulang PATI berkenaan, jumlah tahanan di Depot Imigresen dapat dikurangkan kerana setiap hari ada tangkapan di bawah akta imigresen," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain