suria

Perak Kerjasama Dengan Harvard University Wujudkan Pusat Latihan

BOSTON: Kerajaan Perak akan bekerjasama dengan Harvard Business School, Harvard University di sini dalam mewujudkan pusat latihan profesional bagi melatih pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri begitu memberi perhatian kepada bidang pendidikan dan telah memikirkan pelbagai cara untuk bekerjasama dengan universiti itu demi kebaikan rakyat Malaysia serta penduduk Perak khususnya.

"Universiti itu mempunyai kepakaran. Harvard ada 'flagship'. Amat terkenal. Kehadiran mereka di mana-mana tempat di dunia akan memberi kesan. Dalam hal ini, kita akan bekerjasama dengan Tata Group dari India untuk membawa Harvard (Business School) ke Malaysia.

"Kita mungkin wujudkan kerjasama antara Tata, Harvard dan kerajaan negeri dalam bidang ini di Perak. Apa yang kita bincangkan adalah untuk adakan kursus yang disusun khas bagi keperluan tertentu demi manfaat negara dan negeri," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Senior Associate Dean Harvard Business School, David B. Yoffie di sini pada Jumaat.

Katanya dalam perancangan itu, Yoffie tertarik dengan penerangan tentang usaha-usaha Malaysia dan Perak dalam bidang pendidikan dan menyatakan Malaysia ada potensi besar dalam pembentukan modal insan.

"Menerusi perbincangan itu, banyak ruang untuk mewujudkan kerjasama dengan universiti itu," katanya.

Zambry berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kelab Harvard di Malaysia dan kerajaan negeri sanggup menyediakan infrastruktur untuk merealisasikan perancangan itu.

Beliau berkata sewaktu satu jamuan malam bersama dengan ahli perniagaan dan pelabur di sini, beliau juga ada berbincang dengan Dean Sloan School of Management Massachussets Institute of Technology (MIT) tentang usaha mewujudkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

"Dalam bidang pendidikan kita bukan hanya bincang dengan Harvard tetapi juga dengan institusi lain. Bagaimanapun dalam perkara seperti ini kita kena fokus," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata ada juga pelabur di sini yang bercadang untuk mewujudkan resort perubatan antarabangsa di Perak.

"Kami berharap ia menjadi kenyataan. Kami bersedia memperuntukan kawasan seluas 400 ekar untuk projek itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain