URUMQI (China): Wilayah Xinjiang hari ini kembali bergolak selepas pihak polis menembak mati dua lelaki Uighur dan mencederakan seorang lagi semalam, selepas lebih seminggu rusuhan etnik tercetus di bandar raya barat China itu.
Ia merupakan kejadian pertama seumpama itu oleh pihak berkuasa keselamatan yang diakui kerajaan sejak keganasan meletus di Urumqi pada 5 Julai lalu.
Kerajaan mengesahkan, sekurang-kurangnya 184 orang dilaporkan terbunuh dan 1,680 lagi cedera dalam kejadian itu.
Semalam, polis separa tentera yang dilengkapi perisai dan senapang menyekat laluan ke lorong blok-blok pangsapuri yang menempatkan ramai di kalangan etnik Uighur yang miskin.
Dalam kejadian terbaru, tiga lelaki Uighur dikatakan menyerang seorang lagi lelaki daripada etnik yang sama menggunakan pisau menyebabkan pihak polis terpaksa bertindak menyuraikan pergaduhan itu.
Polis melepaskan tembakan menyebabkan dua terbunuh selepas mereka tidak mempedulikan amaran yang diberi.
Sementara itu, lelaki ketiga dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital berdekatan.


