suria

Empat Termasuk Seorang Warga Singapura Lemas Di Pahang

KUANTAN: Empat, termasuk seorang warga Singapura, mati lemas dalam tempoh 30 jam dalam insiden berasingan di Pahang.

Insiden pertama membabit seorang wanita warga Singapura yang lemas di perairan berhampiran Taman Laut di Pulau Tioman ketika melakukan aktiviti menyelam pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata mangsa, Sim Qiu Yan, 30, dilaporkan lemas pada kira-kira 11.55 pagi.

"Mangsa memasuki perairan Tioman bersama-sama lapan lagi rakan senegaranya yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita pada 17 April lepas.

"Mereka kemudian dikatakan menyewa sebuah bot milik syarikat dari Mersing untuk melakukan aktiviti menyelam itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mayat mangsa ditemui pukul 10 malam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian terbaru petang tadi, keseronokan tiga sekawan menghabiskan cuti hujung minggu mandi-manda di Pantai Balok berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.

Mangsa ialah Aman Ahmad, 24, dari Felda Bukit Kuantan dan Wan Mohd Akram Wan Yusof, 25, dari Bukit Goh di sini manakala rakan mereka, Muis Md Nor, 21, dari Bukit Kuantan sempat diselamatkan pengawal pantai dan kini menerima rawatan di HTAA.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Anuar Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.40 petang.

"Kejadian dipercayai berlaku pukul 4.20 petang dan mangsa pertama, Aman Ahmad berjaya ditemui pada 4.21 petang oleh orang awam.

"Mangsa kedua pula, Wan Mohd Akram Wan Yusof, ditemui pada 6.25 petang berhampiran lokasi mereka dilaporkan hilang," katanya kepada pemberita hari ini.

Beberapa minit sebelum itu, di Pantai Teluk Chempedak, seorang pelajar tingkatan dua Tan Chong Kit dari Taman Tas, lemas ketika mandi bersama-sama beberapa rakannya berhampiran kawasan berbatu.

Anuar berkata mayat mangsa ditemui pada 7.10 petang oleh pasukan penyelamat.

"Kesemua mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat," katanya.

Lemas, Pulau Tioman, Pantai Balok

Artikel Lain