suria

Rambang mata tengok subang batik, semua cantik-cantik... Wanita ini tak sangka ‘Ohdayang’ sampai ke New York!

Dayang bangga mengangkat tema batik dalam penghasilan aksesori Ohdayang.

BATIK sememangnya antara khazanah warisan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Bak kata pepatah, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Mungkin kita biasa melihat batik banyak dikomersilkan dalam industri rekaan fesyen pakaian, tapi pernahkah anda melihat motif tersebut digayakan dalam bentuk aksesori wanita?

Mengetengahkan motif batik, wanita ini tampil dengan idea kreatif apabila menghasilkan anting-anting dan pelbagai lagi aksesori wanita sebagai mata pencarian sampingan.

DAYANG 2

Dayang dan suaminya mengasaskan Ohdayang pada 2019.

Berkongsi cerita dengan mStar, Dayang Nur Syafiqah M. Roslan berkata, idea untuk menghasilkan aksesori berasaskan batik itu tercetus tanpa sengaja ketika dan suaminya berniaga di car boot sale sekitar 2019.

"Sebenarnya saya adalah graduan jurusan tekstil di Malaysian Institute of Art (MIA). Suami, Anas Afandi Ainol Azhar, 31, pula graduan jurusan seni halus.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedap dimakan, jadi aksesori pun comel! Ada ke yang berani pakai subang handmade nasi lemak, ketupat?

"Dalam jurusan tersebut, saya belajar buat batik. Jadi memang minat dengan batik. Kalau kita tengok, memang ramai yang hasilkan pakaian daripada batik... dan jarang sangat jumpa aksesori daripada batik.

"Sekitar 2019, kami berniaga baju bundle dekat car boot sale waktu hujung minggu. Sambil-sambil tunggu customer, saya cuba-cuba buat anting-anting batik dan letak dekat booth.

"Produk itu yang lebih laris daripada baju bundle. Dari situ, saya dan suami nampak potensi anting-anting batik untuk dijual," ujar wanita berusia 26 tahun ini ketika bercerita mengenai produk handcraft yang diasaskannya, Ohdayang.

Tambah wanita yang senang disapa dengan nama Dayang ini berkata, bisnes anting-anting batik diteruskan dan tanpa disangka, ia mendapat sambutan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

DAYANG 4

Selain anting-anting, Ohdayang juga tampil dengan aksesori lain seperti rantai dan gelang.

"Waktu PKP, mungkin ramai yang menghabiskan masa dengan membelek media sosial. Jadi sambutan terhadap handcraft saya dan suami sangat menggalakkan.

"Daripada anting-anting, kami cuba luaskan kepada gelang dan aksesori lain seperti sepit rambut. Alhamdulillah, sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.

Dapat tempahan dari Amerika

Menurut Dayang, dia sendiri tidak menyangka Ohdayang sudah beberapa kali mendapat tempahan daripada pelanggan di Amerika.

"Paling jauh setakat ini, kami dapat tempahan dari New York. Ada la beberapa kali juga Ohdayang dah terbang ke sana.

"Pelanggan yang membeli itu terdiri daripada warga New York sendiri dan juga orang Malaysia yang menetap di New York.

"Sambutan yang kami sendiri tak expect. Kita tak rasa special tapi ada yang melihat Ohdayang special pada mata mereka," ujarnya lagi.

Batik sentiasa akan ada. Ia adalah sebahagian daripada Ohdayang.

DAYANG

PENGASAS OHDAYANG

Bersyukur dengan sambutan dan sokongan yang sangat tidak dijangka, Dayang berkata dia dan suami sememangnya mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi Ohdayang.

"Setakat ini Ohdayang masih lagi belum beroperasi secara sepenuh masa sebab saya dan suami masing-masing masih bekerja. Kami juga tidak mempunyai pekerja... semuanya dilakukan oleh kami berdua.

"Jadi, masa adalah masalah besar kami tambahan pula dengan dua cahaya mata. Semua aksesori Ohdayang pula handcratf dan ambil masa juga nak buat. Jadi memang kami beroperasi secara dalam talian (online) buat masa ini.

"Memang sering kali mendapat pertanyaan daripada pelanggan yang bertanya tentang booth. Jadi InsyaAllah untuk 2023, target kami nak buka booth mungkin dua bulan sekali.

"Dan insyaAllah kami semestinya nak expand lagi produk kepada pouch, keychain dan aksesori untuk lelaki pula," ujarnya lagi.

Teroka fabrik yang berbeza

Tambah Dayang, untuk tahun-tahun mendatang, dia berhasrat untuk meneroka fabrik daripada motif lain namun dalam masa yang sama tetap akan mengekalkan batik sebagai identiti rekaan Ohdayang.

DAYANG 3

Dayang dan suaminya turut membuka booth ketika hujung minggu.

"Batik sentiasa akan ada. Ia adalah sebahagian daripada Ohdayang. Kita tak perlu limit kepada satu satu perkara, banyak yang boleh kita cuba dan boleh explore.

"Dalam masa yang sama, ia juga boleh meluaskan pasaran dan tidak terhad kepada pasaran nusantara saja," kata Dayang lagi.

Tidak menyangka Ohdayang mengumpul peminat tersendiri, Dayang dan suaminya meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sambutan dan sokongan yang diterima.

"Untuk pelanggan yang sentiasa menyokong, terima kasih sebab menghargai handcraft kami. Bukan saya yang membeli, tetapi yang share video dan juga bercerita dari mulut ke mulut. Terima kasih banyak-banyak.

"Tanpa kalian, Ohdayang tak dikenali. Moga jika diberi rezeki lebih, kami akan beroperasi secara full time," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain