suria

Mara in Fashion tonjolkan bakat pereka fesyen muda, beri bimbingan perkukuh jenama ketika pandemik

Farra Fahsya Reena dan Syahir Hamdan bersama hadiah kemenangan di Mara in Fashion.

SEJARAH tercipta! Mara In Fashion (MIF) kembali dengan pertunjukan fesyen menerusi Mara In Fashion Ready To Wear 2021/2022 yang diadakan secara hibrid.

Pertunjukan tersebut merupakan pentas peragaan fesyen pertama diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian di negara ini bersesuaian dengan suasana fasa endemik Covid-19 di Malaysia ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Chanel, Louis Vuitton catat carian tertinggi global setiap hari... ini 10 beg tangan berjenama paling dicari!

Program yang diadakan di Hotel Grand Hyatt pada Ahad lalu itu turut menarik lebih 700 peminat fesyen tempatan, profesional industri dan ahli akademik menyaksikan pertunjukan tersebut secara dalam talian.

Acara itu juga menampilkan 20 pereka fesyen muda yang telah digilap dan dicungkil bakat mereka dalam dunia fesyen dan mempersembahkan rekaan mereka.

MIF_WINNER_04

MIF membuka peluang kepada pereka muda untuk menampilkan rekaan mereka.

Konsep Ready to Wear bertemakan 'Identiti' turut memberikan ruang dan peluang kepada ushawan dan pereka muda untuk mempamerkan rekaan ikonik mereka di pentas itu.

Ia sekali gus memperkenalkan jenama mereka serta mampu berdaya saing dengan jenama lain menerusi pasaran fesyen dalam dan luar negara.

Pada acara itu jenama Neonate oleh pereka fesyen, Syahir Hamdan dipilih sebagai pemenang kategori Best Collection Entrepreneur Fashion Design.

Manakala Farra Fahsya Reena Sanuse menerusi jenama Farra Sanuse dipilih sebagai pemenang kategori Best Design Young Fashion Designer MIF Ready to Wear 2021/2022.

MIF turut membariskan juri profesional seperti FiziWoo, Hatta Dolmat, Rico Rinaldi serta Rizman Ruzaini.

Mara in Fashion 1

Seramai 20 pereka fesyen muda menyertai MIF tahun ini.

MIF yang dibangunkan pada 2016 telah yang memfokuskan kepada pembudayaan pereka fesyen selain merangkumi pembuatan corak, pengeluar fesyen dan peruncit fesyen.

Namun kini ia merupakan pakej lengkap buat peserta terpilih yang merangkumi empat peringkat latihan keusahawanan dan pelbagai aspek perniagaan fesyen.

Bagi memastikan semua peserta berada di landasan yang tepat, bimbingan terus daripada pakar dalam industri fesyen seperti pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Hamid dan FiziWoo turut disediakan kepada peserta.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, program itu merupakan kesinambungan inisiatif Mara di bawah program MIF dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi usahawan-usahawan fesyen setelah terkesan akibat pandemik Covid-19.

Tambahnya, ia turut bertujuan membantu ekonomi dan jualan usahawan pereka Bumiputera ketika pandemik dengan pelbagai program disediakan.

MIF_WINNER_01

Syahir Hamdan menerusi jenama Neonate menerima hadiah kemenangan daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

"Mereka telah melalui beberapa siri latihan selama enam bulan sejak September 2020 sehingga Februari tahun ini dan berharap pentas ini dijadikan sebagai satu permulaan untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka.

"Apabila sudah mampu menembusi pasaran, maka lebih mudah untuk membina rangkaian termasuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa," katanya.

Pemilihan usahawan fesyen mengambil bahagian dalam MIF RTW 2021/2022 berdasarkan ciri-ciri tertentu antaranya mereka yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun, Bumiputera dan warganegara Malaysia.

Mereka juga akan menerima kemudahan keusahawanan lain, seperti pembiayaan dan premis perniagaan di seluruh negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain