Bertuah Tok Ti! Peminat kreatif ini sanggup habiskan masa bandingkan busana terbaiknya dengan cincin berlian - Mode | mStar

Bertuah Tok Ti! Peminat kreatif ini sanggup habiskan masa bandingkan busana terbaiknya dengan cincin berlian

Peminat membandingkan busana digayakan Datuk Siti Nurhaliza dengan cincin berlian.

KREATIVITI peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza memang tidak dapat disangkal bagi menunjukkan minat mereka terhadap penyanyi tersohor itu!

Apa sahaja yang dilakukan penyanyi kesayangan mereka itu pasti akan jadi perhatian dan ikutan peminat selain pemilihan fesyennya ketika menghadiri majlis anugerah atau pun ketika waktu bersantai yang akan menjadi bualan ramai.

Seorang pengguna Twitter, Muhd Shafiq Sani mengumpul lebih 10 baju terbaik yang pernah dipakai Siti dalam satu bebenang yang membandingkannya dengan cincin berlian pelbagai bentuk bagi mewakili setiap busana digayakan penyanyi lagu Anta Permana itu.

Kena sangat! Shafiq sanggup membuat kajian mengenai cincin yang menyerupai baju digayakan Siti Nurhaliza.

Haih! Bukan senang nak buat perbandingan itu kerana semestinya Shafiq mengambil banyak masa membuat kajian tentang bentuk dan warna cincin untuk dipadankan dengan baju digayakan Siti.

Shafiq ketika dihubungi memberitahu idea membandingkan baju Siti dengan cincin berlian datang daripada Twitter apabila membandingkan pakaian atau gaya seseorang artis dengan benda tertentu sedang tular ketika ini.

"Idea ini bukannya datang daripada saya tetapi sekadar mengikut trend yang sedang trending di Twitter. Jika buat carian ada peminat yang membuat perbandingan pakaian artis seperti Lady Gaga, Mariah Carey dan Yuna.

Bukan sahaja warna baju dan cincin sama tetapi perinciannya juga cocok dengan busana Siti.

"Kebiasaannya mereka akan cari apa sahaja barangan tidak kira makanan, batu pertama dan sebagainya untuk disamakan dengan rekaan busana idola mereka dan saya memilih Siti kerana memang meminatinya, " katanya yang berasal dari Singapura.

Bercakap lanjut mengenai idea membandingkan baju Siti dengan cincin berlian, Shafiq berkata pada awalnya dia ingin menggunakan botol minuman pelbagai warna namun merasakan ia tidak sesuai.

"Siti deserves more than that! Jadi saya cari barang yang lebih eksklusif dan tinggi nilainya, maka tercetuslah idea gemstones.

Kreatif betul peminat Siti!

"Saya pilih emerald, diamond, sapphire, ruby dan sebagainya setaraf dengan level beliau sebagai seorang permata Asia, terlalu tinggi nilai dan tiada penggantinya," katanya.

Paling ikonik, pemilihan busana berwarna gangsa dan kuning inspirasi puteri Perak yang digayakan Siti ketika konsert Siti Nurhaliza on Tour 2019 baru-baru ini diletakkan bersebelahan dengan cincin berlian dari warna sama benar-benar kelihatan sepadan!

Perkongsian itu juga turut mendapat perhatian pengikutnya di Twitter yang diulang kicau kerana kagum dengan kesungguhan Shafiq membuat kajian dan mencari gambar cincin yang sesuai dengan busana dipakai Siti.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Artikel Berkaitan

Artikel Lain