'Waze' bawa ke ladang kelapa sawit, kedai makan tiada yang ada hanya 5 pasang mata memerhati dan si tua bongkok - Mistik | mStar

'Waze' bawa ke ladang kelapa sawit, kedai makan tiada yang ada hanya 5 pasang mata memerhati dan si tua bongkok

Penampakan makhluk menyerupai hantu pocong (kanan) dan lima pasang mata bercahaya yang berjaya dirakam oleh Syazwan. Foto TWITTER @Ir_syazwan

SEJAK kebelakangan ini semakin banyak perkongsian penampakan makhluk yang dirakam menerusi video seperti nenek kebayan dan jin di laman sosial.

Terbaharu tular rakaman penampakan makhluk menyerupai hantu pocong dirakam oleh seorang lelaki dikenali sebagai Syazwan ketika hujan lebat.

Menerusi rakaman berdurasi 24 saat itu jelas memperlihatkan kelibat tersebut berdiri di tepi tiang lampu jalan dan penampakan itu bertambah jelas apabila tempias cahaya daripada kilat yang ketika itu sedang sambung menyambung.

"Nak rakam lain terakam benda lain, kenapa berdiri dekat situ," tulisnya di Twitter.

Bagaimanapun kesahihan kelibat dalam rakaman itu mendapat pertikaian netizen yang berpendapat ia sekadar kebetulan dan sebenarnya adalah bunting yang diikat pada tiang lampu itu.

Syazwan hanya ditemani lampu tangan ketika berada di sebuah pantai untuk mengambil gambar.

"Cahaya daripada kilat dan lampu jalan membuatkan ia nampak seperti pocong," tulis salah seorang netizen.

Pasar malam tutup, Waze bawa masuk ladang kelapa sawit

Pun begitu, di sebalik kisah pocong ketika hujan, dua minggu sebelum ini Syazwan dan rakan-rakannya pernah mengalami kejadian mistik apabila mereka berkunjung ke Sabak Bernam untuk mengambil gambar pemandangan ketika matahari terbit dan terbenam, selain merakam keindahan malam dengan langit dipenuhi bintang.

"Kami rancang nak ambil gambar sunset di Bagan Nakhoda Omar jadi kami berempat keluar selepas waktu Maghrib untuk ambil gambar dan video di sana.

"Sesudah selesai kami merancang untuk ke pasar malam di Sabak Bernam yang perjalanannya dalam 15 kilometer daripada tempat kami berada mengikut carian di Google.

"Namun ketika sampai di tapak pasar malam kami pelik kerana keadaan kosong walaupun dalam carian memberitahu ia dibuka sehingga pukul 10 malam," katanya.

Suntingan pada gambar yang diambil dalam gelap menyeramkan.

Tidak berputus asa kata Syazwan, mereka mencari dalam aplikasi Waze kedai makan berdekatan dan akhirnya ke sebuah restoran kira-kira 10 kilometer dari tapak pasar malam itu.

Namun pencarian mereka bertukar misteri apabila Waze membawa mereka memasuki jalan kampung sebelum masuk dalam ladang kelapa sawit yang ada dua ke tiga buah rumah sahaja.

"Apabila Waze memberitahu kami sudah sampai ke restoran, kami tengok keliling dan nampak di sebelah kanan ada ladang kelapa sawit dan langsung tak nampak pun restoran!," ujarnya.

Nak cari bintang, lima pasang mata bercahaya memerhati!

Insiden yang membingungkan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mencari makanan dan akhirnya berjumpa sebuah restoran sebelum meneruskan perjalanan untuk mengambil gambar bintang di pantai berdekatan.

Ketika itu kata Syazwan, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam dan mereka bergegas ke lokasi tersebut kerana bimbang awan akan menutupi bintang dan menyukarkan mereka mengambil gambar.

Dalam keadaan yang gelap yang aku tak nampak apa-apa, aku terus buka lampu telefon dan suluh ke arah datangnya bunyi itu dan kami nampak lima pasang mata sedang memerhati ke arah kami.

SYAZWAN

"Apabila kami set up kamera untuk ambil gambar, tiba-tiba seorang rakan nak buang air kecil dan seorang lagi kawan menemaninya. Jadi masa tu tinggal saya dan seorang lagi kawan dalam gelap.

"Kami hanya ditemani lampu suluh dan mula bimbang sekiranya ada binatang liar di kawasan itu dan seperti dijangka terdengar bunyi ranting patah.

"Dalam keadaan gelap dan tak nampak apa-apa, aku terus buka lampu telefon dan suluh ke arah datangnya bunyi itu dan kami nampak lima pasang mata sedang memerhati ke arah kami tapi nak sedapkan hati aku anggap itu binatang sama ada memerang atau biawak.

"Kami terus suluh lampu ke arah mata yang sedang memerhati itu hingga ia tiba-tiba hilang sebelum kami mengambil keputusan untuk pulang," katanya.

Sebelum pulang kata Syazwan, dia sempat berselfie di kawasan sama munculnya lima pasang mata tadi, namun alangkah terkejutnya apabila wujud penampakan makhluk pelik dalam gambar tersebut selepas membuat suntingan menambah cahaya kepada foto itu.

"Rakan saya yang pergi buang air kecil itu pada keesokan harinya beritahu ketika mereka berjalan ke arah kami, dia ternampak bayangan orang tua bongkok namun susuk itu terus berjalan laju ke dalam semak sebelum menghilangkan diri," jelasnya lagi.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
pocong , Syazwan , mata bercahaya

Artikel Lain