suria

Akibat mulut celupar... 'tangan sejuk' di gua batu kapur di Temerloh pegang kaki pendaki

Pandangan jauh gua batu kapur yang terkenal di daerah Temerloh, Pahang dan sering dikunjungi penggemar alam dan kumpulan pendaki.

HARI yang dinantikan akhirnya tiba, segala perancangan yang diatur lebih awal setakat ini berjalan lancar.

Khidmat pakar digunakan untuk memastikan hasrat meneroka kehebatan gua yang mempunyai sejarah tersendiri ini tercapai dan memuaskan hati setiap peserta ekspedisi mini ini.

Rata-rata yang menyertai ekspedisi kali ini semuanya berpengalaman mendaki gunung atau dengan kata lain memang dah biasa dengan aktiviti lasak.

Ikut perancangan, kami perlu berada di homestay di kawasan Felda Jengka dekat gunung setinggi kira-kira 1,500 meter itu pada sebelah malam - kiranya sehari sebelum mula menapak memasuki kawasan hutan lipur di Temerloh, Pahang pada pagi keesokkan harinya.

Kumpulan kira-kira 20 orang ini pun nampak ceria dan bagai tak sabar untuk menempuh cabaran baharu, lebih-lebih lagi ada yang pertama kali mahu mencuba trek yang turut memasuki gua yang penuh kisah misteri.

Bertuah rasanya kerana pada pukul 7.30 pagi tarikh yang ditetapkan, taklimat diberikan seorang profesor yang sememangnya begitu lama mengkaji selok belok sekitar hutan lipur berkenaan.

Tambahan pula, 18 gua batu kapur di situ dipenuhi stalaktit dan stalagmit yang indah dan terkenal dengan cerita mitos keberadaan Puteri Bunian di situ, selain hutan lipurnya yang dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik.

Memang kagum dengan kepakarannya ahli akademik itu dan tentunya kami semua rasa lebih selamat dengan adanya seorang yang disegani di kawasan berkenaan bagi mengetuai ekspedisi itu.

"Jangan ada yang terlepas cakap dan banyak tanya ye, kalau ada pun simpan dulu semua soalan tu... boleh tanya kemudian sebab faham-fahamlah dalam hutan ni banyak pantang larangnya.

"Dah tu pula, kalau ketua kamu jalan ikut kanan jangan pula ada yang ikut jalan ke kiri. Kalau ketua kamu lalu antara dua pokok, jangan pula kamu keliling pokok tu....ikut je ketua kamu kalau nak selamat," itulah antara peringatan Prof MM ketika memperkenalkan diri di lokasi kami berkumpul.

Ya memang benar, ia nasihat berguna terutama bagi yang kaki sembang dan mulut tak dak insurans! Dan tak lupa juga ia amaran buat yang memang 'pantang' ikut arahan, asyik perasan dia tu bos aje!

Tapi biasalah kan, manusia namanya. Kau cakap lah apa saja, berkoyan nasihat yang diberikan pun tak tentu lagi dapat masuk dalam kepala.

Perjalanan kami bermula dengan trek yang landai, memang mudah pada awalnya. Tapi sekejap saja, lepas itu mula masuk ke kawasan gua yang gelap dan bergema dengan angin sepoi-sepoi bahasa.

Wow...memang pengalaman yang menarik sekali. Bukan setakat halua mata tapi juga dapat menguji kekuatan fizikal.

Mana tidaknya, bukan setakat merangkak, tapi kami juga lakukan terjunan bertali dalam gua itu pada ketinggian kira-kira 10 meter, tapi bukan flying fox tau!

Selepas semuanya selesai, tiba masa untuk keluar dari gua berkenaan. Seorang demi seorang melangkah di lohong umpama pintu gua berkenaan dan ketika itu semuanya tak henti bersembang kerana begitu teruja berjaya melalui cabaran dalam suasana berbeza berbanding ekspedisi mendaki gunung.

Saat itu nampaknya, nasihat Prof MM bagaikan tiada makna lagi.

Setiap seorang berjalan tanpa aturan, antara ketua dan anak buah dalam kumpulan semuanya entah ke mana perginya.

Persekitaran hutan lipur yang penuh dengan tumbuhan dan dijaga baik untuk dikunjungi ramai.


Dah mula nampak kucar kacir. Tiba-tiba kami bagaikan ada di lokasi sama, bila berpatah balik masih di tempat sama - berpusing-pusing dalam bulatan.

Cuba pula arah lain, melangkah lagi dan kami tetap tiba di kedudukan sama! Aduhh.... apa dah jadi sebenarnya ni!

Tiap seorang rupanya melalui situasi berbeza, saya sendiri melihat sesuatu yang pelik - pokok salak gergasi dengan buah yang saiz tak masuk akal, "biar betul?" demikian detik hati ini tapi mulut tetap diam tanpa kata-kata sebab dah mula cuak dengan keadaan sekeliling yang makin seram.

Jam di tangan pula menunjukkan hampir ke 12 tengah hari, perut dah mula berkeroncong dan masing-masing mula kepenatan.

Tambah memburukkan lagi keadaan apabila bekalan air makin berkurangan... ada yang hanya dapat basahkan bibir menggunakan penutup botol saja sebab risau kehausan nanti kerana perjalanan nyata masih jauh.

Mana tidaknya kami memang tak tahu bila dapat 'keluar' dari 'jaring halimunan' ni.

Yang pasti, bukan saja kami yang amatur ini malahan profesor berkenaan juga bingung dan makin keliru dengan situasi yang dilalui - masih di kawasan sama, tak berganjak bagaikan terperangkap dalam terowong masa!

Sedang kami berjalan, kedengaran salah seorang peserta wanita, KH menangis, mulanya perlahan kemudian teresak-esak tanpa henti.

Apa jadi??? Beberapa rakan wanita lain cuba menenangkannya.

Rupa-rupanya KH 'nampak' sesuatu yang sukar digambarkan tapi benar-benar menyeramkan, malahan katanya, 'benda' itu berulang kali mendekati dirinya.

KH terlalu terkejut, panik hingga tidak dapat mengawal perasaan. Bila ditanya lagi dia hanya menggeleng kepala, enggan bercakap langsung. Mukanya pucat!

Selepas diberi air penawar yang dibacakan ayat suci al-Quran akhirnya KH kembali tenang tapi masih dalam mode diam.

Suasana di gua batu kapur yang begitu menarik sekali.


Kami pun teruskan perjalanan, entah kenapa pula kaki peserta lelaki, MZ  tiba-tiba tersadung.

Bila ditanya dia sendiri keliru kerana katanya ketika berjalan tadi tak ada pun akar pokok melengkar di situ, tapi macam mana boleh terjatuh pula?

Kami yang berkerumun padanya pun pelik, memang laluan situ hanya ada pokok renek, mana ada akar pokok yang boleh sebabkan sipolan tu tersungkur.

Tragedi lagi... sampai luka lutut dan dahi hingga terpaksa dirawat.

Ketika mencuci luka MZ dan berborak-borak dengannya dia bercerita: "Aku rasa macam ada tangan pegang kaki aku, sejuk betul tangan tu. Masa tu macam tak boleh jalan tapi bila aku cuba lepaskan genggaman kuat tu aku tersungkur.

"Bila toleh, aku nampak bayang-bayang je tapi angin bertiup macam ada benda terbang. Entah la aku pun tak pasti," katanya terketar-ketar sambil tersenyum pahit. 

Selepas terdiam seketika, MZ kembali berbicara selepas bermuhasabah diri. MZ  tiba-tiba mengaku banyak cakap sepanjang ekspedisi.

Mulutnya celupar dan tak henti-henti berseloroh terutama dengan KH dan dek kerana itu mungkin menjadi punca mereka menjadi sasaran.

Menginsafi diri, MZ  dan KH menemui ahli kumpulan ekspedisi serta profesor yang mengetuai aktiviti itu dan lantas meminta maaf atas perlakuan mereka.

Dua insiden itu membuatkan semua peserta tambah risau dan bagaikan mula hilang semangat.

Tiba-tiba kami diarahkan berehat dulu, seorang rakan yang memang sering mengikut ekspedisi Prof MM berulang kali menemui sifunya, profesor yang berpengalaman dan disegani itu.

Semua ketua kumpulan mula berbincang, kami diminta berehat dan makan dulu. Seketika kemudian, kelihatan ada ketua kumpulan yang mendirikan solat pastinya solat sunat untuk mendapatkan petunjuk dan mendoakan semuanya kembali seperti sedia kala.

Beberapa minit kemudian, semuanya diminta siap sedia untuk meneruskan perjalanan diiringi doa dan masing-masing lebih berhati-hati, tiada yang terlebih emosi atau keterlaluan dalam percakapan dan berhati-hati ketika melangkah.

Memulakan tapak demi tapak di hutan lipur itu, entah bagaimana kami bagaikan menemui cahaya di hujung jalan apabila tiba di kawasan ladang kelapa sawit. 

Syukur Alhamdulillah kami dah berjaya keluar dari kawasan penuh misteri itu.

Tapi semuanya belum selesai lagi, masih perlu berjalan dan terus berjalan beberapa kilometer hingga tiba di jalan besar antara ladang tanaman itu.

Apa pun memang syukur sebab berjaya melepasi dugaan dalam suasana penuh misteri itu dan menyeramkan itu, tetapi lega kerana perjalanan kami berakhir dengan pengalaman yang begitu berbeza dan menjadi iktibar untuk semua supaya sentiasa menjaga tingkah laku serta tutur kata.


gua, Temerloh, salak

Artikel Lain