DALAM dunia moden hari ini, kecantikan sesebuah rumah sering diukur menerusi pembinaan, reka bentuk, nilai estetika, kemewahan atau trend semasa.
Namun, bagi pereka hiasan dalaman terkenal, Amin Yussoff, rumah yang sebenar bukan sekadar struktur konkrit yang cantik, tetapi perlu menjadi tempat turunnya rahmat dan keberkatan.
Ujarnya, perkara tersebut hanya dapat dicapai jika mengikut panduan yang telah pun disebut dalam al-Quran.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan buat silap, ini 8 pantang larang jika anda upah ‘cleaner’... Rumah bersih, ‘owner’ puas hati
"Rumah bukan tentang kemewahan tetapi tentang keberkatan. Sebagai orang Islam, kalau anda nak bina rumah, rugilah kalau anda tak rujuk dulu tujuh perkara yang ada dalam al-Quran tentang susun atur dan layout plan rumah anda.
"Rumah yang dibina tanpa panduan al-Quran, yang siap cuma bangunan tapi tiada keberkatan," ujarnya.

Pereka hiasan dalaman, Amin Yussoff.
Berikut adalah perkongsian beliau mengenai 7 prinsip utama dari al-Quran untuk dijadikan panduan sebelum merancang reka bentuk rumah.
1. Ketenangan
Rumah seharusnya menjadi tempat yang menghadirkan ketenangan jiwa atau 'sakan' dalam Bahasa Arab, bukan sekadar tempat berteduh.
2. Hijab ruang antara tetamu dan keluarga
Islam sangat mementingkan adab dan privasi. Reka bentuk seharusnya menghalang tetamu daripada terus melihat ke ruang peribadi seperti dapur atau bilik tidur sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah.
3. Tentukan arah kiblat
Tandas atau bilik air tidak sepatutnya dibina menghadap kiblat sebagai tanda menghormati arah solat. Ini bukan sahaja aspek praktikal, tetapi juga menunjukkan kepekaan terhadap tuntutan agama.

Ruang tamu yang menjadi tempat seisi keluarga berkumpul dan mengeratkan ukhwah. -Gambar hiasan
4. Pencahayaan semula jadi
Pencahayaan semula jadi bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah membolehkan udara bersih dan cahaya matahari masuk, sekali gus menjadikan rumah lebih sihat dan ceria.
5. Wujudkan ruang basah dan kering
Ruang seperti dapur dan bilik air perlu diasingkan kepada zon basah dan zon kering, bukan hanya untuk kebersihan tetapi juga memudahkan urusan ibadah seperti wuduk.
6. Ruang tengah sebagai pusat keluarga
Sama ada ruang tamu, ruang makan, atau tempat solat berjemaah, perlulah berada di tengah rumah. Ini bukan sekadar ruang fizikal, tetapi simbol pusat kasih sayang sesama keluarga.
7. Hiasan sederhana
Elakkan berlebihan yang boleh membawa kepada sifat riyak atau pembaziran. Kesederhanaan adalah sebahagian daripada keindahan Islam itu sendiri.


