suria

Wanita mengadu sakit-sakit badan, hilang semangat nak mengait... Akhirnya jumpa jawapan lepas ‘melawat’ hospital

Hasil kraf sentuhan Farah kemas dan menarik.

MENJANA pendapatan daripada hobi sendiri merupakan perkara yang menggembirakan.

Tambahan pula ia boleh dilakukan di rumah dan menggunakan masa sendiri tanpa sebarang gangguan atau tekanan pihak ketiga.

Begitulah yang dilalui seorang pengait patung beruang dikenali sebagai Farah Wahida.

Berkongsi cerita, dia yang meminati bidang mengait mula melakukannya secara serius pada 2015 selepas belajar menerusi platform YouTube selama setahun.

Hasil agumurami pertama yang dihasilkan Farah.

Hasil agumurami pertama yang dihasilkan Farah.

"Saya mengait secara serius pada 2015 setelah belajar sendiri melalui YouTube selama setahun.

"Hasil kaitan pertama adalah teddy bear yang tiada mata," ujarnya memulakan cerita.

Menurut Farah, pada masa itu dia masih menjadikan bidang kaitan sebagai sumber sampingan kerana bekerja di butik.

Namun selepas berhenti dan pulang ke kampung halaman, dia mengambil keputusan untuk menjadikan hobi mengait sebagai punca pendapatan utama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia aktif bersukan, berlari” - Pemuda muhasabah diri, terkejut rakan pandai jaga kesihatan diuji kanser tahap 4

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah kawan B40, hidup susah rutin guru setiap minggu! Jadi tempat mengadu, kadang sampai terlupa masalah sendiri

Sejak itu, pelbagai jenis amigurumi atau patung permainan yang dikait menggunakan tali berjaya dihasilkan.

"Awalnya saya mengait sambil bekerja di butik, apabila tiada kerja barulah mengait dan bos pun okay.

"Kemudian saya berhenti (kerja) dan pulang ke kampung untuk mengait secara full time... pelbagai jenis amigurumi dibuat dan Alhamdulillah boleh hidup tapi tiada simpanan," imbasnya gembira.

Melihatkan hasil dan pendapatan yang diperoleh agak menggembirakan, dia terus serius dan mengambil tempahan daripada pelanggan.

Namun, selepas beberapa tahun berkecimpung dalam bidang itu, Farah mengakui gerak kerjanya semakin perlahan dan mula mengalami sakit-sakit badan.

Pada 2021 saya didiagnosis dengan SLE, sekali gus terjawab segala persoalan tentang kesakitan yang dialami.

FARAH WAHIDA

Situasi yang dialami itu berlarutan sehinggalah dia hilang semangat untuk mengait pada 2020.

"Masuk tahun 2020, saya kehilangan semangat dan mengait seperti terpaksa, rasa menyakitkan.

"Pada 2021, saya telah didiagnosis dengan SLE (penyakit Lupus), sekali gus terjawab segala persoalan tentang kesakitan yang dialami," luahnya sayu.

Dia yang akur dengan takdir tertulis bagaimanapun dikejutkan dengan mesej bekas pelanggannya baru-baru ini.

Amigurumi yang dihasilkan membantu menjana pendapatan.

Amigurumi yang dihasilkan membantu menjana pendapatan.

Mana tidaknya, pelanggan yang pernah membeli hasil krafnya menyuarakan keinginan untuk membuat tempahan.

Malah katanya, tiga bulan sebelum itu juga dia dihubungi bekas pembeli yang bertanyakan sama ada masih mengait atau sebaliknya kerana mahu membuat tempahan.

Tambah Farah, permintaan yang diterimanya itu membuatkan dia kembali berkobar-kobar untuk mengait dan berharap dapat menyelesaikan baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Untuk rekod SLE ialah penyakit autoimun, dicirikan oleh sistem imun yang menyerang tisunya, membawa kepada keradangan yang meluas dan kerosakan tisu pada organ yang terjejas.

Ia boleh memberi kesan kepada sendi, kulit, otak, paru-paru, buah pinggang dan saluran darah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain