suria

Santuni pelajar sekolah, penuntut UPSI bantu pastikan pematuhan SOP lebih optimum

Sukarelawan UPSI sedang membantu proses penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.

SEKUMPULAN 22 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi bersama empat pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang membantu menguruskan SOP penyuraian dua sekolah sekitar daerah Tanjung Malim, Perak ketika pembukaan hari pertama persekolahan yang bermula Isnin lalu.

Sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Zaaba dan Kolej Aminudin Baki membantu dua sekolah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Malim dan Sekolah Kebangsaan Proton City sebaik tamat sesi persekolahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap di Tanzania akibat pandemik dan pergolakan politik, Cikgu Anita tetap bersemangat teruskan impian kembara 70 negara, dah berjaya hasilkan 4 buku!

Menurut pengarah program sukarelawan, Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, tujuan kesemua sukarelawan dihantar untuk membantu pihak sekolah melicinkan operasi penyuraian dengan memastikan murid-murid sekolah keluar dengan tertib, mengikut laluan disediakan, memakai pelindung muka dan memastikan setiap pelajar melakukan penjarakan sosial sebaik melangkah keluar daripada sekolah.

“Sebagai sebuah universiti yang prihatin terhadap komuniti setempat, UPSI menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) cakna dengan keperluan sekolah yang memerlukan sokongan dalam menguruskan sesi persekolahan dalam norma baharu.



Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin memberitahu UPSI cakna dengan keperluan sokongan kepada sekolah ketika ini.

"Dengan beban yang sedia ada, tidak mungkin pihak sekolah dapat menguruskan sesi persekolahan dengan sempurna. Melihatkan peluang untuk membantu meringankan beban sekolah, pihak universiti berganding bahu dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang bersama Pusat Alumni UPSI berhasrat sama-sama turun padang membantu pihak sekolah memantau pematuhan SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh minggu pertama persekolahan dibuka, ” jelasnya.

Kehadiran sukarelawan mengurangkan beban sekolah memantau pematuhan SOP – Guru Besar

Guru besar Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Azuraniza Abu Samah berkata pihak sekolah telah melakukan pelbagai persediaan dari segi SOP sebelum menyambut kehadiran para murid sekolah.

Dengan kehadiran sukarelawan pada hari ini, sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah pelanggaran pematuhan SOP oleh pelajar-pelajar dan ibubapa.

“Sekolah ini mempunyai bilangan murid seramai 1,110 orang murid yang terdiri dalam kalangan murid tahap satu dan tahap dua. Pelbagai kerenah yang perlu dihadapi guru-guru apabila masuk hari pertama, walaupun terkawal, pastinya ada perkara berkaitan pematuhan SOP yang boleh jadi terlepas pandang, ” jelasnya.



Sukarelawan membantu bagi memastikan semua pelajar mematuhi SOP.

“Dengan kehadiran sukarelawan yang membantu proses penyuraian, sedikit sebanyak pematuhan SOP dapat dilaksanakan dengan lebih optimum, ” jelasnya lagi.

Kehadiran sukarelawan ke Sekolah Kebangsaan Proton City juga disambut baik oleh pihak sekolah. Guru besar Sekolah Kebangsaan Proton City, Salmi Ali berkata, kehadiran para mahasiswa dari UPSI ke sekolah merupakan satu inisiatif yang baik dan harus dicontohi ramai pihak.

“Penyertaan sukarelawan ke sekolah amat membantu proses penyuraian sebaik tamat sesi persekolahan kerana bukan mudah untuk memastikan pelajar-pelajar serta ibubapa patuh pada SOP yang telah ditetapkan. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran sukarelawan bukan sahaja memantau proses pematuhan SOP, sebaliknya dapat memberi contoh teladan mahasiswa yang baik kepada pelajar-pelajar sekolah, ” jelasnya.

“Kami amat mengalu-alukan penyertaan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti yang dilaksanakan oleh UPSI pada hari ini, ” tambahnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain