suria

“Saya tak ada masalah ambil 5,000 kalori pada satu masa” - Banyak buat video mukbang, Issac Osman kongsi rahsia kekal berat badan

Issac Osman terkenal dengan video mukbang di YouTube. Foto Instagram @issacosman.tv

YOUTUBER Nur Muhammad Izzat Osman atau lebih dikenali sebagai Isaac Osman mampu menghilangkan 5,400 kkal durian, 3,290kkal burger, 2,810kkal ramen dan 2,281kkal ais krim hanya dalam satu sesi.

Meskipun makan dalam kuantiti yang banyak namun Izzat, 33, bersyukur dia tidak mempunyai sebarang penyakit serius dan berjaya mengekalkan berat badan ideal.

YouTuber berasal dari Kuala Lumpur itu turut memberitahu dia sentiasa bersenam selain berpuasa sekiranya tidak merakamkan sebarang video untuk salurannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kagum! Selepas lalui 6 bulan yang perit, gadis ini bangkit lakukan 4 kerja sekaligus... Pelbagaikan bisnes strategi usahawan Kedah kekal bertahan sepanjang pandemik Covid-19

"Saya memang suka makan dan apabila saya tengok Matt Stonie yang gemar masuk pertandingan makan di saluran YouTube miliknya, saya jadi kagum. Jadi saya mengambil keputusan untuk merakamkan video saya makan dan memuat naik di YouTube.

"Tanpa disangka, saya terima respons yang cukup baik. Penonton suka melihat saya makan," katanya yang memulakan salurannya pada Ogos 2018.

Izzat memberitahu dia juga teruja dengan video mukbang kerana peserta kebiasaannya mampu menghabiskan jumlah makanan yang besar walaupun mereka memilik badan kecil.



Sebelum merakamkan sesuatu video, Izzat biasanya akan berpuasa serta mengamalkan senaman yang kerap.

"Pada saya, mukbang adalah antara yang terbaik di dunia. Saya juga kagum mereka dapat mengekalkan berat badan ideal walaupun makan dalam jumlah yang banyak. Ia membuatkan saya terinspirasi untuk menghasilkan video lebih baik," katanya.

Pun begitu, Izzat sendiri sebenarnya cukup aktif dalam bersukan meskipun mengakui pandemik telah menyebabkan berat badannya meningkat.

"Sebelum ini saya sangat aktif dalam sukan seperti ultra marathon (berlari 50km-100km), jadi saya sentiasa berasa lapar. Biasanya saya akan berjoging, berbasikal atau bermain futsal sebelum pandemik," jelasnya.

Namun bagi Izzat, berpuasa (intermittent fasting) sangat membantunya dalam mengekalkan berat badan ideal dan telah mengamalkannya sejak tiga tahun lalu.

Bagi amalan itu, Izzat memberitahu dia akan berpuasa selama 16 jam di mana dia hanya minum air kosong dan makan selepas lapan jam.

"Kebiasaannya, saya akan berpuasa lebih daripada dua hari sebelum merakamkan video untuk saluran YouTube. Cara itu, saya tidak mempunyai masalah mengambil 5,000 kalori pada satu masa.

Tempoh paling lama saya berpuasa (tidak makan dan hanya minum air) adalah tujuh hari. Pada hari biasa, saya hanya makan sehari sekali.



NUR MUHAMMAD IZZAT OSMAN @ ISSAC OSMAN

YOUTUBERS

"Tempoh paling lama saya berpuasa (tidak makan dan hanya minum air) adalah tujuh hari. Pada hari biasa, saya hanya makan sehari sekali," kongsinya.

Bagaimanapun Izzat mengakui keluarga terutamanya isterinya sentiasa berasa bimbang tentang tabiat pemakanan dan kesihatannya serta sering mengingatkannya tentang kepentingan kesihatan.

"Senaman sudah menjadi rutin saya. Setiap video yang dirakamkan sudah ada perancangan terperinci terlebih dahulu. Ia bukan sekadar apa yang saya makan tetapi apa saya akan buat selepas itu. Lagi banyak saya makan, maka bertambah tempoh saya bersenam.

"Sebelum pandemik, saya pernah berbasikal ke seluruh Malaysia dalam tempoh tujuh hari dan ia pencapaian luar biasa selain saya boleh makan apa sahaja selepas itu," ujarnya.

Bercakap mengenai makanan, Izzat memberitau burger dan stik adalah kegemarannya. Selain itu, video kegemaran yang pernah dihasilkan adalah ketika makan ais krim.

"Saya cukup suka stik dan burger. Satu bahagian stik tidak pernah cukup untuk saya!," katanya.



Izzat memberitahu kebiasaannya dia akan menguruskan sendiri rakaman untuk salurannya.

"Saya boleh makan ais krim dalam sekelip mata... sebab saya perlu buat demikian atau ia akan cair. Ia juga boleh menyejukkan badan dalam cuaca yang panas," katanya.

Dedah Izzat lagi, kebanyakan makanan yang ditunjukkan di dalam videonya adalah dibeli sendiri namun turut mendapat permintaan untuk membuat reviu daripada penaja.

Bercakap kerja-kerja di sebalik tabir, Izzat memberitahu kebiasaannya dia akan menguruskan sendiri rakaman untuk salurannya namun ada pasukan khas bagi membantunya jika dia membuat reviu restoran.

Memandangkan salurannya sudah mencecah sejuta pengikut, Izzat memberitahu dia perlu bekerja lebih keras dalam menampilkan video lebih menarik.

"Apabila anda meletakkan kerja keras dan dedikasi dalam apa juga anda lakukan, ia dapat membantu kejayaan anda. Bahan yang diberikan mestilah yang terbaik dan konsisten dalam apa sahaja perkara dilakukan.

"Paling penting, jadi diri sendiri kerana penting untuk mempunyai identiti sendiri serta tidak takut mencuba sesuatu yang baharu," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain