ANDA pasti sudah membuat banyak resolusi untuk tahun 2025, bukan? Ada yang ingin menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik, melancong ke luar negara, menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, meningkatkan kesihatan badan dan sebagainya. Tapi jangan hanya fokus kepada kesihatan fizikal, mental juga perlu diperkukuhkan pada awal tahun ini agar anda tampil lebih berkeyakinan dan 'kuat' dari sebelumnya. Menerusi akaun lemon8, individu dikenali sebagai @noveronica berkongsi cara mudah untuk memperbaiki mental dengan hanya meluangkan masa 30 minit setiap hari. Berlari dapat menghasilkan 'runner's high', iaitu keadaan euforia yang singkat tetapi sangat menenangkan. -Gambar hiasan 1. Kurangkan stres dengan aktiviti larian Stres datang daripada pelbagai arah sama ada kerja, keluarga atau kewangan. Tapi tahukah anda bahawa hanya dengan aktiviti larian, stres ini dapat dikurangkan? Kajian menunjukkan berlari dapat merangsang pengeluaran hormon endorfin yang berfungsi sebagai antidepresen semula jadi. Ini membantu anda merasa lebih tenang dan gembira selepas sesi larian. Anda boleh mulakan dengan brisk walk selama 15 hingga 30 minit di taman berhampiran. Jika anda baru bermula, tingkatkan intensiti secara berperingkat. Tidur siang yang singkat dapat membantu menyeimbangkan emosi. -Gambar hiasan 2. Tidur siang Kadangkala tubuh kita memerlukan rehat sebentar di siang hari. Tidur siang yang pendek tidak hanya memberi kesegaran, tetapi ia juga meningkatkan pengaturan emosi, mengurangkan impulsif dan menaikkan toleransi terhadap frustrasi. Bukan itu saja, ia juga membantu meningkatkan produktiviti. Selepas tidur singkat, tubuh dan minda akan lebih segar, sekali gus membantu anda kembali fokus semula apabila bekerja. Angkat beban sangat efektif untuk meredakan kemarahan. -Gambar hiasan 3. Angkat beban Apabila kemarahan meluap-luap, angkat beban adalah aktiviti yang efektif untuk meredakannya. Ia melepaskan ketegangan tubuh, mengalihkan fokus dari perasaan marah, dan memberi rasa pencapaian positif. Luangkan 20 minit setiap hari untuk mengangkat beban, bermula dengan beban ringan dan tingkatkan beratnya secara perlahan. Senaman asas seperti squats, push-ups, atau bicep curls sangat membantu untuk fokus dan menenangkan fikiran. Berjemur di bawah cahaya matahari pada waktu pagi dapat meningkatkan kadar vitamin D dalam badan. -Gambar hiasan 4. Berjemur di bawah sinar matahari Sinar matahari mempengaruhi pengeluaran serotonin, bahan kimia yang membantu menjaga perasaan hati. Oleh itu, jika selalu diperhatikan, kita akan sering berasa lebih sedih ketika cuaca mendung. Justeru, ambil masa sejenak untuk berjemur di luar rumah apabila cuaca cerah. Ini boleh memberi tenaga positif kepada tubuh dan minda, serta meningkatkan penghasilan Vitamin D yang penting untuk kesihatan keseluruhan. Cukup dengan berjemur selama 10 minit setiap pagi untuk menikmati manfaatnya. Lakukan brisk walk selama 30 hingga 45 minit untuk menenangkan diri. -Gambar hiasan 5. Brisk walk Apabila rasa cemas datang menghimpit, brisk walk adalah cara mudah untuk menenangkan diri. Berjalan kaki membolehkan tubuh dan minda merasa lebih tenang dan sering membantu mereka yang sukar tidur untuk tidur lebih lena. Ambil masa 30 minit untuk brisk walk di tempat yang tenang seperti taman sambil cuba fokuskan kepada pernafasan anda semasa berjalan. 'Overthinking; boleh menimbulkan pelbagai kesan kepada kesihatan manusia. -Gambar hiasan 6. Atasi overthinking Pernahkah anda terperangkap dalam pemikiran berlebihan atau bimbang tentang perkara yang belum atau mungkin tidak akan terjadi? Untuk mengatasi ini, cuba tarik nafas dalam-dalam, tahan sebentar, dan lepaskan perlahan-lahan. Latihan ini hanya memerlukan lima minit, tetapi ia boleh memberi kelegaan cepat kepada fikiran yang bercelaru. Anda boleh cuba mencari tempat yang tenang dan duduk dalam kedudukan selesa. Tarik nafas dalam-dalam selama empat saat, tahan selama empat saat, dan lepaskan perlahan-lahan selama 6 saat. Ulangi selama lima hingga 10 minit. Teknik ini mudah tetapi sangat efektif untuk menenangkan fikiran. Kesemua tip ini sangat berguna apabila anda merasa terperangkap dalam situasi yang melelahkan mental. Ingat, kesihatan mental adalah asas kepada kehidupan yang seimbang. Tanpa mental yang sihat, sukar untuk mencapai kejayaan atau kebahagiaan dalam hidup. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube