suria

Tak dapat ke rumah Allah kerana PKP tapi hati sentiasa terpaut pada masjid, inilah antara 7 golongan dapat naungan Allah

Ramai daripada kita yang merindukan saat dapat solat berjemaah tanpa sebarang sekatan di masjid.

PENULARAN wabak Covid-19 sejak tahun lalu memberi kesan besar dalam jiwa umat Islam apabila aktiviti melibatkan masjid tersekat seperti program pengimarahan masjid, solat berjemaah dan solat Jumaat.

Kehadiran ke masjid juga dihadkan kepada beberapa orang jemaah sahaja. Ini menimbulkan perasaan rindu para jemaah lain untuk turut sama hadir mengimarahkan masjid tetapi terhalang disebabkan ujian yang melanda.

Inilah fitrah yang Allah SWT anugerahkan kepada hambanya yang mencintai dan menyayangi rumah ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Saat wabak melanda, Islam menggalakkan umatnya duduk di rumah dan rebutlah pahala syahid

Sekiranya sifat ini ada pada diri seorang muslim, maka selayaknya dia mendapat pengiktirafan sebagai golongan yang hatinya sentiasa terpaut dan terikat dengan masjid, walaupun tidak dapat masuk ke dalamnya untuk mengerjakan solat.



Ketika ini masjid ditutup kepada orang ramai ekoran penularan wabak Covid-19.

Hadis sahih daripada Abu Hurairah, Nabi S.A.W. bersabda (Maksudnya): “Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah (di padang mahsyar) pada hari tiada naungan melainkan naunganNya iaitu imam yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadah kepada Tuhannya, pemuda yang hatinya sentiasa terikat dan terpaut kepada masjid, dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah keranaNya, pemuda yang diajak berbuat maksiat oleh wanita cantik dan punya kedudukan tetapi menolak pelawaan tersebut dengan berkata ‘aku lebih takutkan Allah’, pemuda yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan pemuda yang sentiasa berzikir kepada Allah di tempat sunyi hingga menitis air matanya.” - [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Dalam hadis ini ada disebutkan salah satu golongan yang dinaungi oleh Allah di padang mahsyar tempat hitungan amal ialah pemuda yang hatinya sentiasa terikat kepada masjid.

Maksud terikat hati pada masjid ialah mereka yang sentiasa mengunjungi masjid dan walaupun ketika di luar masjid, hatinya tetap mengingati rumah Allah tersebut.

Walaupun dalam teks hadis disebutkan khusus kepada ‘pemuda’ tetapi ia membawa maksud umum kepada sesiapa sahaja baik kaum lelaki mahupun wanita.

Janji Allah akan memberi perlindungan di hari akhirat, maka tidak mustahil golongan tersebut akan turut dilindungi semasa di dunia.



Dr. Mohd. Kamel Mat Salleh mengingatkan umat Islam agar terus mencintai dan menyayangi masjid kerana ia adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi ini.

Namun disebabkan wabak COVID-19 yang melanda, ramai orang Islam yang terhalang dari mengimarahkannya, tetapi disebabkan adanya rasa rindu dan ingatan yang berpanjangan kepada masjid, maka selayaknya mereka yang terpaut hati dengan masjid itu akan diberi keistimewaan di padang mahsyar nanti sebagai golongan yang mendapat perlindungan dari Allah SWT.

Masjid adalah tempat beribadat dan menjalankan aktiviti sosial masyarakat. Ia mempunyai kedudukan dan martabat yang tinggi di sisiNya lantaran ia adalah ‘rumah’ yang dinisbahkan kepada penciptanya iaitu Allah S.W.T.

Kerana itu, Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah.” - [Surah al-Jinn: 18]. Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud, “sesungguhnya rumah-rumahKu di bumi ialah masjid.”

Sesungguhnya masjid adalah tempat mengagungkan dan mengangkat kebesaran Allah. Lantaran itulah diperintahkan kepada para rasulNya membina dan membangunkan masjid.

Sebelum perutusan Baginda S.A.W. telah wujud Baitullah yang kemudiannya diisytiharkan sebagai Masjid al-Haram. Sebaik sahaja Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul bermulalah era perkembangan Islam melalui pembinaan masjid seperti Masjid Quba, Masjid Nabawi, Masjid al-Qiblatain dan sebagainya.

Dalam surah al-Taubah ayat 18, Allah menyatakan bahawa ahli masjid adalah mereka yang dilindungi dan sentiasa mendapat hidayahNya, “hanyalah orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah mereka yang beriman kepadaNya dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan hanya kepada Allah. Merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk dalam golongan yang mendapat petunjukNya.”



Semoga wabak akan lenyap dan kita kembali dapat solat berjemaah di masjid.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya, “sesungguhnya para malaikat akan sentiasa berdoa kepada setiap seorang daripada kamu selama dia masih tetap pada tempat solatnya di dalam masjid dan tidak berhadas, para malaikat berdoa, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah rahmatilah dia.” - [Riwayat al-Bukhari].

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah yang telah dinyatakan jelas menunjukkan kelebihan masjid dan orang yang berada di dalamnya.

Semoga masjid akan sentiasa diimarahkan dengan tujuan membesarkan Allah dan menjadi medan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Selagi masjid yang ada masih berdiri kukuh, jagalah adab-adabnya, kekalkanlah kesuciannya, jadikanlah ia tempat untuk menyatu padukan masyarakat, bukannya tempat untuk memecah belahkan masyarakat atau tempat mencari kedudukan dan mengejar pangkat.

Selagi hak masjid terpelihara, selagi itulah Allah S.W.T akan menjaganya.

Penuhilah rumah-rumah Allah dan kunjungilah ia sekerap yang mungkin bukannya hanya untuk bersolat Jumaat malah lebih malang jika masih ada dalam kalangan umat Islam yang hanya bertandang ke masjid untuk menunaikan dua solat hari raya.

Cintailah masjid, nescaya kita akan dicintai Allah, lindungilah masjid, nescaya kita akan dilindungi Allah S.W.T.

Semoga kita tidak menjadikan alasan COVID-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak mencintai dan menyayangi masjid kerana ia adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi ini.

***Dr. Mohd. Kamel Mat Salleh adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Seremban, Negeri Sembilan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain