Jom kenali budaya masyarakat Malaysia menerusi 'Art In The City' - Destinasi | mStar

Jom kenali budaya masyarakat Malaysia menerusi 'Art In The City'

Masjid Jamek antara kawasan yang bakal dimeriahkan dengan pelbagai acara bersempena Art In The City.

EDISI kedua Art In The City Kuala Lumpur kembali menghidupkan ibu kota dengan pelbagai program berbentuk seni yang menarik dalam mengangkat budaya masyarakat Malaysia.

Bertemakan 'I heART KL' - acara yang berlangsung selama 10 hari itu bakal memperlihatkan pelbagai program akan dianjurkan termasuk tiga instalasi seni daripada artis Malaysia, pertandingan video, Lucky Pao Market, forum dan bengkel seni serta aktiviti sampingan yang bertujuan meraikan kepelbagaian seni, kreativiti, belas ihsan dan imaginasi rakyat Malaysia.

Program itu adalah anjuran Agensi Ekonomi Seni Budaya (Cendana) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka berlangsung dari 18 hingga 27 Oktober ini.

Hari pertama acara itu bakal memperlihatkan pameran Karya Seni Arca dan Instalasi daripada idea artis Filemen, Joshua Teo dan Pamela Tan dipaparkan di sepanjang River of Life di kawasan Masjid Jamek atau Masjid Sultan Abdul Samad Jamek sehingga Februari depan.

Art In The City melancarkan pertandingan video yang mana hasil kerja lapan peserta akan ditayangkan di Lucky Pao Market yang terletak di Jalan Raja di tengah bandar raya.

Panggung Rakyat turut diadakan bagi memperkasakan seni serta warisan budaya.

Di Lucky Pao Market juga, pengunjung boleh menikmati persembahan muzik daripada artis tempatan seperti Kyoto Protocol, Johny Comes Lately, Bizhu dan The Nadir Music Collective.

Di lokasi sama ia turut ditransformasikan menjadi Bazar Seni Kreatif dengan mengetengahkan landskap sejarah Kuala Lumpur dari pukul 5 petang hingga 11 malam bermula 19 Oktober ini.

Tidak cukup dengan itu, penganjur akan mengadakan forum dan bengkel bersama pelukis tempatan dan antarabangsa di Ruang by Think City di Jalan Hang Kasturi bagi membincangkan peranan seni dan budaya di tempat awam.

Program ini juga ada peluang terbaik kepada pecinta seni untuk mendapatkan ilmu dan informasi daripada yang pakar seperti Nani Kahar, Dr. Rosli Zakaria, Tetawowe Atelier, Aisyah Baharuddin, Lim Soo Ngee (from Singapura), Ahmad Khairudin (Indonesia) dan Snow Ng.

Antara bentuk seni yang bakal mewarnai acara 10 hari itu.

Ia bakal diadakan pada 20 Oktober dari pukul 10 pagi hingga 5 petang, manakala Public Art Workshop pula akan diadakan pada 21 Oktober, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Program Panggung Rakyat pula berlangsung di Jalan Raja sebagai paltform seni awam dalam memupuk dan memperkasakan seni serta warisan budaya unik di Malaysia menerusi bengkel interaktif, paparan serta diskusi.

Sepanjang bulan ini, persembahan Tarian Ronggeng dari Nusantara Performing Arts Research Center (NusParc) turut diadakan, selain itu aktiviti berjalan-jalan atau Lawatan Galeri untuk menghayati kemeriahan di sekitar Kuala Lumpur.

Lebih menarik, orang ramai juga boleh menyertai pengembaraan Sketchwalk by KL Sketchnation dan alami pengalaman Art In The City dengan sketchbook.

Art In The City 2019 turut disokong Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, Hop On Hop Off Bus, The Art Seni serta KL Sketchnation.

Art In The City , Cendana , DBKL