Intai seksinya lenggok dan pesona gadis Jepun di Kyoto - Destinasi | mStar

Intai seksinya lenggok dan pesona gadis Jepun di Kyoto

Suasana memukau pokok-pokok buluh di Arashiyama Forest, Kyoto yang mempesonakan.

BAGI yang belum pernah menjejak kaki ke Kyoto mungkin anda tertanya-tanya keistimewaan kota yang diiktiraf sebagai kota nombor dua terbaik dunia oleh majalah Conde Nash Travelers pada tahun 2016 ini.

Biarpun tidak seluas Tokyo mahupun Osaka, kota yang terletak di wilayah Honshu ini sering menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia dek kerana menyimpan seribu pesona nostalgia kejayaan Jepun di masa lalu yang membuatnya terlihat seksi dan molek di mata pengunjung atau pelancong.

Jadi, jika sudah menjejak kaki di Osaka, panjangkanlah langkah ke Kyoto. Bukannya jauh pun.

Yasaka Shrine, Gion

Perjalanan ke Kyoto dari Osaka hanya mengambil masa kira-kira 32 minit jika memilih kereta api laju, Shinkansen dari Stesen Osaka ke Stesen Kyoto. Jika mengambil keretapi biasa, perjalanannya mengambil masa kira-kira satu jam.

Jadi, apa yang boleh anda harapkan dari kota yang berusia lebih 1,000 tahun ini? Jika anda seorang yang gemarkan warisan dan budaya, bumi Kyoto pasti tidak akan menghampakan.

Ciri-ciri tradisional Jepun masih utuh di kota ini. Bahkan, penghuni kota ini juga dikatakan masih tebal dengan sifat-sifat tradisional. Namun, tidak menolak kehadiran orang asing yang mahu mengenali budaya hidup mereka.

Selain terkenal dengan dengan warisan budaya, Kyoto juga tidak kalah dengan keindahan alam yang memukau. Lagi lama anda di bumi Kyoto, lagi banyak yang boleh dilihat.

Salah satu tempat ikonik iaitu jambatan Togetsukyo di Kyoto. Photo: Starwood Hotels & Resorts .

Sejujurnya, trip sehari ke Kyoto tidak mungkin berbaloi kerana banyak tarikan yang terpaksa dilepaskan.

Satu fakta yang anda mesti tahu, Kyoto tidak mempunyai deretan bangunan pencakar langit. Satu-satunya bangunan yang tinggi di sini ialah Menara Kyoto (Kyoto Tower) yang mempunyai ketinggian 131 meter. 

Tiada juga pusat beli-belah atau kawasan khusus yang sinonim dengan trend fesyen terkini seperti di Tokyo. Kyoto adalah tempat untuk mengintai seksinya lenggok dan pesona si gadis Jepun dan santunnya budaya masyarakat tempatan.

Mengintai Geisha di Gion Ponchoto

Jika ingin menyelusuri zaman Jepun terdahulu, carilah penginapan di Gion yang terletak di dalam kawasan Higashiyama Selatan. 

Gion memberi peluang untuk anda merasai pengalaman yang cukup berbeza kerana di sini anda boleh melihat bangunan-bangunan lama yang tidak jemu mata memandang.

Antara pemandangan di Kyoto.

Satu tarikan yang menjadi bualan ramai ialah peluang mengintai Geisha dan Maiko yang menyusuri jalanan Gion untuk ke tempat kerja pada lewat petang.

Ini kerana Gion juga menempatkan rumah-rumah hiburan tradisional dan restoran elit yang menampilkan Geisha untuk menghiburkan pengunjung.

Memang seronok dapat berjalan-jalan di sini selepas makan malam.

Selepas puas berjalan di Gion, boleh panjangkan langkah ke Pontocho. Sama seperti Gion, Pontocho juga dikenal sebagai salah satu tempat terbaik untuk melihat Geisha, sekali gus tempat untuk menikmati suasana Jepun ala dulu-dulu.

Pokok-pokok buluh yang menjadi tarikan di Bamboo Forest.

Kiri-kanan lorong pejalan kaki di Pontocho menempatkan lokasi selera tempatan mahupun bercitarasa barat. Kafe-kafe yang menghadap Sungai Kamogawa sering menjadi pilihan pengunjung kerana dia menawarkan pemandangan sungai yang asyik.

Pasti terbuai dan terleka seketika dengan keindahan alam yang pastinya tidak sama di tempat lain. Sesuai untuk mereka yang mungkin sedang berbulan madu ke sini.

Jalan-jalan di Arashiyama

Alang-alang sampai di Kyoto, pastikan anda melihat sendiri keindahan Arashiyama Forest. Tarikan yang banyak dimuat baik di laman sosial Instagram ini manakan bisa dilepaskan begitu sahaja.

Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 45 minit dari stesen keretapi Gion-Shijo. Sebelum melawat sekitar Bamboo Forest dan pekan Arashiyama, ikuti pengalaman menaiki Sagano Romantic Train dahulu.

Geisha dan Maiko antara yang mencuri perhatian di Gion.

Mulakan perjalanan dari Kameoka Torokko Station ke Saga Torokko Station supaya anda boleh meluangkan masa lebih lama di Bamboo Forest dan kawasan sekitarnya.

Tiket sehala untuk menaiki Sagano Romantic Train ini dijual pada harga $620 Yen (RM22.70) untuk dewasa dan $310 yen (RM11.35) untuk kanak-kanak. 

Sepanjang 25 minit perjalanan, anda akan menikmati pemandangan alam yang cukup indah. Lebih-lebih lagi jika pada musim bunga dan juga musim luruh.

Tempah tiket awal untuk elakkan kekecewaan

Sebaik sampai di puncak Arashiyama, bolehlah berjalan ke Bamboo Forest untuk melihat sendiri keunikkan tempat viral ini. Bamboo Forest ini bukannya kecil, tetapi luas. Kalau datang pada hujung minggu atau peak season, kawasan ini akan dipenuhi dengan pengunjung dari seluruh dunia. Hendak mengambil gambar pun susah.

Menara Kyoto

Jadi perlu bersabar jika mahu merakam memori seperti yang anda lihat di laman-laman sosial. Jika mahu spot yang kurang orang, boleh sewa beca yang ditarik oleh ‘abang-abang sado’ sebab beca ini akan melalui lorong-lorong yang berbeza daripada yang dilalui oleh pejalan kaki. 

Harga beca bergantung kepada jarak perjalanan, iaitu di antara $4,000 Yen (RM146.40) ke $7,000 Yen (RM256.20).

Selesai menaiki beca, bolehlah berjalan-jalan di sekitar jalan-jalan utama di Arashiyama. Ada kedai-kedai menjual cenderahati dan juga banyak juga kafe dan restoran untuk menjamu selera.

Kyoto , Jelajah , Travel

Artikel Berkaitan