suria

Jangan terlepas ke 7 lokasi ini jika ke Turki

KEINDAHAN panorama di Turki bukan lagi rahsia.

Malah, lokasi-lokasi pelancongan di negara itu turut mendapat pengiktirafan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berikut merupakan tujuh lokasi yang wajib dilawati sekiranya anda bertandang ke bumi Turki.

1) Cappadocia

Nama Cappadocia pastinya tidak asing lagi kerana ia suatu ketika dahulu pernah diangkat dalam drama Manisnya Cinta di Cappadocia lakonan Fazura dan Shaheizy Sam.

Ia popular dengan cerobong yang terhasil dari pembentukan batuan asli di sekitar kawasan Göreme.

Selain itu, tidak sah kunjungan anda ke Cappadocia sekiranya tidak mencuba sendiri belon udara panas. Anda juga boleh mencuba aktiviti berkuda di situ.

2) Ephesus


Binaan purba Ephesus adalah lokasi yang paling berbaloi untuk dikunjungi.

Bagi kaki fotografi khususnya, lokasi ini sangat sesuai untuk dipotretkan kerana keunikan reka bentuknya.

Ephesus suatu ketika dahulu merupakan pusat komersial yang penting di Turki. Ia turut tersenarai sebagai tapak warisan PBB.

Malah, ia juga tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban kuno.

Ia sebelum ini pernah beberapa kali dirobohkan dan setiap kali dibina semula, saiznya semakin bertambah.

3) Masjid Biru dan Istana Topkaki


Tatkala matahari terbenam, cahayanya memantul ke seluruh binaan Masjid Biru. Begitulah gambaran keindahan lokasi popular itu.

Selain digelar Masjid Biru kerana jubin di dalamnya yang berwarna biru, ia juga dikenali sebagai Mahsid Sultanahmet.

Ia bersempena nama Sultan Ahmet I yang berhasrat membina sebuah rumah ibadat persis Hagia Sophia, gereja lama yang kini ditukar menjadi muzium.

Binaah gah ini terletak kurang satu kilometer dari Istana Topkaki, sebuah istana mewah yang begitu indah.

4) Bandar Purba Hierapolis, Pamukkale


Di sini, anda boleh berendam dalam kolam air panas yang sangat popular. Ia bukan sahaja popular malah turut tersenarai sebagai tapak warisan PBB.

Terbentuk dari hutan mineral, air terjun dan tingkat air, ia dikenali sebagai spa panas yang telah digunakan sejak 2,200 tahun lepas.

Pelancong pada hari ini boleh menikmati kehangatan kolam itu sebagaimana raja-raja Atalid dari abad kedua sebelum masihi merasainya ribuan tahun dahulu.

5) Bandar Bawah Tanah Derinkuyu


Menerusi kunjungan ke lokasi ini, anda dapat merasai sendiri ketamadunan purba Turki.

Bandar bawah tanah setinggi 18 tingkat ini terletak di daerah Derinkuyu, Wilayah Nevsehir.

Didakwa mampu memuatkan 20,000 orang di dalamnya, bandar seperti gua ini masih utuh walaupun usianya sudah mencecah ribuan tahun.

Bandar terselindung itu kini menjadi tarikan dunia yang mahu merasai sendiri pengalaman kehidupan di bawah tanah.

6) Masjid Grand, Masjid Hijau dan Makam


Masjid Grand merupakan salah satu masjid terbesar di Turki.

Dengan 20 kubah dan dua menara, masjid itu menjadi mercu tanda bersejarah bagi seni bina zaman Ottoman dengan elemen Seljuk yang begitu jelas.

Di dalamnya menempatkan 192 ukiran gergasi yang dihasilkan oleh pakar kaligrafi popular zaman dahulu.

Masjid Hijau dan makam pula dihiasi hasil karya seorang pelukis hebat yang dibantu seorang arkitek dan seorang lagi artis sekaligus menjadikan masjid itu megah dengan rekaan jubin serba indah.

7) Tasik Garam dan Makam Atartuk


Dua lokasi ini terletak di bandar Ankara. Rugi sekiranya anda datang jauh ke Turki dan melepaskan peluang untuk ke sini.

Tasik Garam atau Tasik Tuz merupakan tasik kedua terbesar di Turki.

Sewaktu musim panas, kerak garam yang mengeras di tasik itu akan diproses sebelum dijual di pasar-pasar tempatan.

Makam Atartuk pula menempatkan makam presiden Turki yang pertama.

Terdiri daripada empat seksyen berlainan, makam itu menempatkan barang berharga dan potret keluarga presiden itu.

Malah, ia turut menempatkan sebuah perpustakaan khusus untuk Atartuk dengan lebih 3,115 buku di dalamnya.

lawat Turki, menarik Turki

Artikel Lain