suria

Naiki Kereta Api Lalu Kawasan Cerun Antara Pengalaman Menarik Di Sri Lanka

Pemandangan yang sungguh menarik diambil dalam kereta api dari Kandy Ke Ella.

CATATAN: KHAIRUL RIZAL, Selama Perak

SRI LANKA bukanlah destinasi popular dalam kalangan penggembara mungkin kerana ia tidak banyak didedahkan kepada umum.

Tapi bagi saya, negara itu amat menarik dan pengalaman selama sepuluh hari menerokanya akan menjadi catatan bersejarah dalam hidup saya yang sukar digambarkan.

Sebenarnya dah lama saya nak ke Sri Lanka selepas pembacaan serta melihat video di internet.

Sri Lanka bagi saya ‘osem’, cantik , tidak terusik lagi. Bentuk muka buminya kecil  sikit dari Semenanjung Malaysia. Majoriti penduduknya beragama Buddha, diikuti Kristian, Islam serta Hindu.

Suasana berkabus dengan pemandangan yang segar antara tarikan jika menaiki kereta api dari Kandy ke Ella.

 

Bahasa rasminya ialah Sinhala. Setelah membuat penyelidikan, study map, study lokasi menarik di internet, saya pun beli tiket penerbangan Air Asia pergi-balik KL-Colombo.

Kebetulan pula saya dapat harga murah iaitu RM525 pergi-balik. Sebenarnya jarang ada promo harga ke Colombo ni… maklumlah laluan agak rare.

Juga saya beli buku travel Lonely Planet, Sri Lanka sebagai bahan rujukan tambahan yang perlu dibawa.

Pantai Kogala , 10 KM Timur Galle.

Oh ya, bagi rakyat Malaysia, kita perlu memohon visa terlebih dahulu untuk ke sana. Masa tu harga multiple entries tourist visa ialah USD$25 (RM97). Kini khabarnya dah naik ke USD$30 (RM117).

Visa boleh dipohon secara online… Sangat mudah, tak sampai lima minit lulus, terus dihantar ke e-mel anda. Perlu cetak dan simpan untuk ditunjuk semasa di lapangan terbang nanti

Hari Pertama (KL - Colombo)

Saya tiba di Bandaranai International Airport sekitar pukul 3.30 petang. Urusan di imigresen berjalan lancar. Lagipun tak ramai orang kat airport.


Bandar Kandy di waktu pagi, berhampiran clock tower.

Saya ambil bas dari airport ke Colombo Fort dengan harga tiket Sri Lanka Rupee LKR$120 (RM3). Masa tu kadar tukaran RM1= LKR$40.

Lebih kurang 40 minit jugak perjalanan. Saya tinggal di area ini sebab berdekatan dengan stesen kereta api. Saya dapat sebuah bilik pada harga LKR$1,000 (RM25), bilik simple ada kipas angin dan bilik air.

Lepas berehat dalam setengah jam, saya terus ke stesen kereta api untuk beli tiket ke Kandy keesokan harinya. Tiket harga LKR$800 (RM20) bagi perjalanan dalam masa tiga jam.

Kereta api bertolak pukul 8.30 pagi. Satu pengalaman ngeri yang saya lalui dalam perjalanan tu, ketika kereta api dah nak sampai di Kandy, tiba-tiba ia berhenti.

Muzium mengenai sejarah pekan Nuwara Eliya... masuk percuma tapi tak dibenar mengambil gambar.

Rupa-rupanya ia dah langgar orang iaitu seorang wanita. Saya dimaklumkan wanita tu bunuh diri dan kejadian bunuh diri di landasan kerap berlaku menurut penumpang tempatan.

Hari Ke-2 (Colombo - Kandy)

Saya tiba di Kandy sekitar pukul 12.30 tengah hari yang mana ia agak lambat kerana kemalangan kereta api tadi.

Sebenarnya sepanjang di Sri Lanka, semua bilik saya tempah secara walk-in je. Jadi saya pusing sekitar bandar Kandy mencari bilik berdasarkan buku panduan Lonely Planet yang saya bawa.

Antara pencuci mulut yang ditemui di Colombo. Rasanya sangat manis dan tak mampu nak habiskan.

Setelah puas hati dengan bilik tu, saya menyewa dengan harga LKR$1,700 (RM43) semalam termasuk wifi percuma. Biliknya pun luas dan bersih.

Selepas berehat dan solat, saya pusing pula sekitar bandar Kandy.

Kandy ni bagi saya seperti di Malaysia tahun 1990-an, bas-bas dia pun masih stail lama. Banyak juga tempat menarik sekitar Kandy selain Tasik Kandy.

Kedai makanan Muslim pula banyak sebenarnya di Kandy, takde masalah untuk hal itu dan harga pula tak mahal.

Hari Ke-3

Pagi esoknya saya ke menara jam Kandy untuk ambil bas ke Paradeniya Botanical Garden yang jauhnya dalam 5 KM dari bandar Kandy.

Ini ialah taman botani terbesar di Sri Lanka merangkumi 60 hektar keluasannya. Tiket masuk LKR$1,100 (RM27 untuk orang asing). Memang sangat luas dan menarik sekali. Jenuh berjalan jugalah dibuatnya.

Paradeniya Botanical Garden yang sangat luas kawasannya. Tempat ini begitu nyaman dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan herba dan bunga-bungaan.

Ia sangat menarik dengan pelbagai bunga-bungaan juga tumbuhan herba. Pelancong pun tak ramai, best jalan santai di sini. Dalam perjalanan pulang, saya nampak perlawanan bola sepak yang tak jauh dari bandar Kandy dan saya pun buat keputusan untuk ke sana.

Saya kembali ke Kandy sebelah petang dan terus ke stesen keretapi untuk beli tiket ke Ella, pada keesokan harinya. Tiket berharga LKR$400 (RM10).

Hari Ke-4 (Ella)

Tren Kandy-Ella bertolak pukul 10 pagi. Satu perjalanan yang agak lama iaitu hampir lapan jam tapi disajikan dengan pemandangan yang sangat cantik apabila ia melalui kawasan pergunungan.

Penulis (bertopi) sempat merasai pengalaman memetik daun teh di Ella.

Saya juga berpeluang melihat ladang teh dan air terjun.

Saya ni pula seorang yang gayat, kereta api pula lalu tanah tinggi yang diselaputi kabus tebal tapi ia memang menarik dan akhirnya saya tiba di Ella hampir pukul 6 petang.

Ella sebuah pekan kecil sahaja. Setelah saya dapat bilik (juga walk-in) saya makan dan kemudian jalan-jalan sekitar pekan dan kemudiannya saya balik tidur.

Keesokan pagi saya mendaki di mini Adam Peak untuk melihat Ella Gap iaitu sebuah bukit yang kita dapat menikmati pemandangan sekitar bandar Ella.

Pelajar mereka amat teruja kalau pelancong luar datang bertanyakan soalan kerana mereka mahu berkomuniksi dalam Bahasa Inggeris.

Semasa saya berjalan seorang diri, saya terjumpa pasangan dari Republik Czech dan terus berkawan dengan mereka untuk sama-sama mendaki.

Sebenarnya tak susah mana nak mendaki sebab terdapat laluan yang disediakan dan bila sampai saja di atas bukit ini, apa boleh saya katakan pemandangannya amat mempersonakan.

Hari ke-5

Pagi hari ke-5, saya ambil bas pula untuk menuju ke Nuwara Eliya (NE). Nuwara Eliya ni juga dikenali dengan nama Little England oleh orang Sri Lanka.

Ia sebuah bandar kecil atas bukit, dikatakan bandar tertinggi di Sri Lanka. Ketinggiannya hampir 2,000 meter dari paras laut.

Salah satu pemancangan di Nuwara Eliya.

Ramai orang tempatan yang saya jumpa semasa di Kandy, mencadangkan saya ke NE kerana ia cantik, sejuk dan sesuai untuk berehat.

Sebenarnya, NE juga ada dalam perancangan saya. Apabila ramai cakap macam tu, lagi bersemangat la nak pi haha.

Tiada direct bas dari Ella ke Nuwara Eliya, saya tukar bas di Bandarawela.

Rupa-rupanya perjalanan atas bas dari Ella ke Bandarawela tu melalui lereng-lereng bukit tinggi.

Kecut perut dibuatnya sebab dah la jalan pun sempit, tiada penghadang jalan. Kalau bas tergelincir, alamat jatuh gaung la.

Memang tinggi gaungnya dan pemandu bas pula bawa laju. Saya siap berdoa dalam hati jangan la bas ni masuk gaung tapi orang tempatan semuanya rileks je sambil layan lagu yang dipasang dalam bas.

Saya yang mula-mula tadi duduk sebelah kiri dan lepas melihat gaung, terus beralih tempat ke kanan.

Salah satu masjid di Galle Fort.

Perjalanan dalam satu jam juga la. Sebenarnya kalau dari Kandy atau dari Colombo nak ke NE dengan tren pun boleh tapi kena berhenti di stesen kereta api Nanu Oya, lepas tu boleh ambil tuk-tuk ke Nuware Eliya.

Sampai di Bandarawela saya buat keputusan untuk jalan-jalan di sekitar bandar tersebut. Ini bukan tempat untuk pelancong.

Di sini saya terjumpa sebuah masjid dan sempat makan di kedai muslim dan kemudian saya ambil bas ke NE dan tiba dalam lingkungan pukul 2 petang.

Hari ke-6 dan ke-7 (Nuwara Eliya)

Setiba saya di NE, sebaik turun dari bas dan mencari penginapan, terus perasaan saya menyukai NE. Nyaman suhunya dan ia berbeza dengan Colombo yang agak panas.

Setelah dapat bilik saya decide untuk tinggal dua malam. Senang juga cari kedai makanan halal di sini dan banyak pula. Ada masjid di NE ni.

Buah-buahan tempatan juga dijual dengan harga murah.

Esok harinya baru saya jalan-jalan sekitar NE dan saya ke Victoria Park, muzium dan Tasik Gregory.

Saya benar-benar enjoy di NE dengan suhu yang lebih sejuk sebelah malam di sebuah bandar kecil dan agak sunyi.

Pelancong di sini memang sangat kurang. Bayangkan… saya hanya jumpa 3 atau 4 orang mat saleh saja sepajang dua hari di sini haha.

Hari ke-8 dan ke-9 (Galle)

Pagi ke-8 , saya ambil bas ke Galle. LKR$400 (RM10) harga tiket. Lebih kurang 6 jam jugak la perjalanannya.

Sampai di Galle dah petang, saya cari bilik sewa dalam kawasan Galle Fort untuk dua hari.

Galle Fort ni ialah tempat kesan peninggalan penjajahan zaman kolonial Belanda dulu.

Seni bina lama dapat dilihat pada bangunan di Galle Fort, Galle Selatan Sri Lanka.

Di Galle Fort ni ada masjid, ada gereja dan muzium dengan seni bina lama.

Petang tu saya ronda-ronda di Galle Fort dan esoknya saya ambil bas dari stesen bas Galle, tak jauh dari Fort untuk ke Unawatuna dan Koggala Beach.

Koggala Beach tu saya nak tengok ‘stilt fishing’ iatu orang memancing atas ‘pole’ tapi diberitahu hanya sebelah petang. Jadi saya ambil gambar aje la.

Kedua-dua pantai ni dalam 10 KM je dari Galle. Saya luangkan masa beberapa jam di sini dan lepas tu kembali ke Galle.

Sebuah restoran Muslim di Nuwara Eliya. Jangan terkeliru dengan nama hotel kerana ia bukan hotel tetapi restoran hehe.

Saya ke stesen kereta api yang terletak bersebelahan dengan stesen bas kononnya nak mudah beli tiket esok hari tapi saya diberitahu sejam sebelum bertolak saja ia boleh dibeli dan ada beberapa perjalanan ke Colombo.

Hari ke-10

Setiba di Colombo Fort, saya check-in di bilik yang mula-mula saya tinggal pada hari pertama tiba dan baru saya ada masa untuk ronda-ronda sekitar Fort.

Masa hari pertama tiba, saya tak sempat meneroka kawasan ni sebab dah gelap. Saya ambil peluang ke Pettah Market, juga floating market dan sekitar kawasan pasar. Esok hari, saya terbang balik Malaysia.

Teringin nak makan sireh? Ia banyak dijual di tepi-tepi jalan.

10 hari perjalanan saya ni memang menarik dan belanja pula tak banyak saya habis. Bagi saya, Sri Lanka mempunyai keunikannya tersendiri kerana bentuk muka-buminya saja telah menyediakan pengalaman luar biasa buat penggembara seperti saya.

Apa yang penting masyarakatnya amat menghormati pelancong dan tidak sukar untuk meminta bantuan dan bertanyakan sesuatu.

10 perkara menarik mengenai Sri Lanka

1. Negara ni masih kurang terima pelancong dan jarang diterokai oleh pengembara luar.

2. Jangan risau bab-bab makanan halal kerana senang je nak jumpa kedai makanan muslim. Ia banyak dan mudah. Masjid pun senang dijumpai.

3. Penduduknya ramah dan suka senyum terutama bila jumpa orang luar. Mereka amat teruja. Pelajar-pelajarnya pula akan cuba berbual dengan kita sebab mereka nak berlatih bercakap Bahasa Inggeris.

4. Orang Sri Lanka makan nasi dalam jumlah yang banyak. Kalau ke kedai makan, nasi diberi tinggi menggunung dan kita perlu minta separuh saja.

Suasana pasar pagi yang sibuk di kawasan Pettah, Colombo.

5. Harga makanan dan penginapan dan barang-barang yang hendak dibeli agak murah kerana nilai Ringgit kita tinggi berbanding Sri Lanka Rupee.

6. Orang yang suka menipu di Sri Lanka agak kurang berbanding tempat-tempat lain yang pernah saya kunjungi. Apa-apa pun kita tetap kena hati-hati.

7. Terdapat orang Melayu Sri lanka terutamanya di kawasan selatan iaitu di Hambantota. Saya tak ke sini, tetapi sempat berjumpa beberapa orang pemandu tuk-tuk Melayu di Galle. Menariknya mereka masih faham beberapa perkataan Bahasa Melayu.

Jam Bun (sebut betul-betul ye hehe. Salah sebut bunyi jamban) di satu kedai roti kat Kandy.

8. Orang Sri Lanka juga mudah jika kita minta untuk ambil gambar.

9. Selamat untuk menggembara secara solo kerana rakyatnya sangat membantu. Kalau di bandar, kebanyakan boleh berbahasa Inggeris.

10. Kita perlu naik kereta api terutamanya dari Kandy ke Ella sebab pemandangan sepanjang perjalanan sangat cantik dan menarik.

Pembaca yang mempunyai pengalaman menarik ketika melancong boleh berkongsinya dengan kami. Tulisan dan gambar boleh dihantar menerusi e-mel kepada: [email protected]

Sri Lanka

Artikel Lain