suria

Ais Krim Durian Dapat Sambutan Hebat Di China

LANZHOU (China): Ais krim dan kopi berperisa durian dari Malaysia adalah antara produk yang mendapat sambutan hebat pada Pameran Pelaburan dan Perdagangan Lanzhou China (CLITF) yang berlangsung di sini sejak Khamis.

Regal Plus dan Taluwang Sdn Bhd adalah  antara 31 syarikat Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan halal mereka pada pameran itu.

Loh Wee Keng, pengarah urusan Regal Plus, syarikat pengeluar aiskrim Jumbo Tropical Delight, yang mengandungi perisa durian Musang King dan kopi berperisa durian, berkata produk berkenaan mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Beliau memberitahu Bernama bahawa pengunjung ke gerai syarikat itu yang terletak di Pavilion Malaysia  di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Gansu, amat terpikat dengan keenakan aiskrim berkenaan.

“Lanzhou, ibu kota Wilayah Gansu, mempunyai lebih sejuta orang Islam dan terdapat potensi besar bagi produk halal Malaysia yang mendapat pengesahan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam) di sini,” katanya.

"Kami menjual setiap kotak yang mengandungi enam batang aiskrim pada harga 50 Yuan (RM31.60). Saya menjangka kami dapat meraih 60,000 Yuan (RM37,922) daripada jualan sepanjang acara ini,” katanya.

Menurut beliau, syarikat itu telah memasuki pasaran China sejak 2007.

Pengarah urusan Taluwang Sdn Bhd Vincent Lau pula berkata beliau terperanjat dengan sambutan mengagumkan daripada pengunjung memandangkan mereka tidak biasa dengan durian, walaupun buah itu terbukti merupakan antara produk pertanian Malaysia yang paling digemari di beberapa tempat lain di China.

"Saya berasa lega apabila melihat kebanyakan pengunjung yang singgah di gerai kami tersenyum lebar setelah merasa aiskrim durian kami yang dijual pada harga 10 Yuan (RM6.30) sebatang.

"Sasaran kami ialah meraih nilai jualan 20,000 Yuan (RM12,621) daripada aiskrim ini,” katanya sambil menjelaskan bahawa di samping perisa durian, syarikat itu juga membawa aiskrim berperisa buah-buahan tropika lain seperti cempedak, avocado, mangga dan keladi.

Syarikat dari Kota Kinabalu itu, yang telah memasuki pasaran Malaysia sejak lapan tahun lepas dan dua tahun lepas di pasaran China, sedang mengukur sambutan terhadap produknya tempatan serta merancang untuk menghasilkan produk baharu. -Bernama

CLITF, ais krim durian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain