Prestasi Terbaik Bola Jaring Hasil 'Lawan' Pasukan Lelaki

KUALA LUMPUR: Kerap 'berlawan' dengan pasukan lelaki adalah antara rahsia aksi cemerlang skuad wanita bola jaring negara hingga melangkah ke final temasya Sukan SEA (KL2017).

Ia diakui jurulatih pasukan lelaki bola jaring kebangsaan, Shahrizan Shahadir yang tidak melepaskan peluang berada di Stadium Juara, Bukit Kiara sepanjang kejohanan dwi tahunan ini.

Menurut Shahrizan, sejak diambil alih oleh jurulatih baharu Tracy Robinson, banyak perubahan yang dapat dilihat.

"Paling jelas, pemain-pemain kurang mengalami kecederaan. Dari segi taktikal juga sangat bagus dan prestasi mereka meningkat dengan baik.

"Sepanjang persediaan mereka bagi temasya ini, pasukan saya yang menjadi saingan mereka bagi perlawanan persahabatan.

"Mereka adalah yang terbaik, dan hanya pasukan lelaki sahaja yang mampu memberi saingan sengit," ujarnya yang juga kapten bagi pasukan Cobra Malaysia.

Jelas Shahrizan, pasukannya memang aktif dalam sukan bola jaring walaupun jarang diberi liputan.

"Kami bergelar juara pada Kejohanan Bola Jaring Lelaki Asia tahun lalu dengan menewaskan Pakistan, Brunei, Singapura, Hong Kong dan India.

"Bagi saya lelaki dan bola jaring sudah perkara biasa. Negara-negara luar seperti New Zealand, Singapura juga aktif sukan bola jaring.

"Salah seorang pengadil di temasya ini juga merupakan bekas pemain Australia (James Matthews).

"Malahan hujung tahun ini kami akan menyertai kejohanan Asean," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Shahrizan berharap skuad negara berjaya merangkul pingat emas, menewaskan Singapura pada final yang akan  berlangsung Sabtu petang.

Selain itu, penyokong-penyokong Malaysia mulai memenuhi stadium sejak pukul 1 petang walaupun perlawanan akhir bermula 3 petang.

Cobra Malaysia, bola jaring

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sultan Mizan Bolot Dua Emas

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sah! GRS menang majoriti mudah PRN Sabah