suria

Pernah gatih basikal ke pusat latihan...Daripada ‘nobody’ kepada ‘somebody'

Ketabahan Piya hadapi halangan membuahkan hasil apabila meraih pelbagai kejayaan di persara liga tempatan.

WALAUPUN dahulunya bola sepak negara cukup cemerlang di pentas antarabangsa, keputusan untuk memilih sukan itu sebagai karier mungkin sedikit asing buat masyarakat di negara ini.

Tidak keterlaluan jika ramai diantara ibu bapa ketika era 80-an dan 90-an lebih memilih untuk melihat anak-anak mereka berkhidmat dalam kerajaan.

Atas dasar itu, hanya mereka yang benar-benar cekal mampu bertahan hingga cipta nama di pentas sukan negara.

Bagi mereka yang lahir pada era 80-an, segalanya impian untuk bergelar atlet hanyalah bermula daripada diri sendiri memandangkan kurangnya platform apatah lagi sekolah sukan untuk menonjolkan bakat.

Tetapi masih ada yang mampu atasi segala kesulitan hingga pernah dinobat sebagai bintang dalam arena yang diceburi.

Itu jugalah yang sudah dibuktikan oleh bekas pemain paling bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 yang juga mantan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi.

ARTIKEL BERKAITAN: PJ City ada ramuan rahsia jinakkan Harimau Selatan

Menceritakan semula perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional, Mohd Badhri atau dikenali sebagai Piya akui situasinya jauh berbeza berbanding masa kini yang serba serbi lengkap.

Ketika namanya belum lagi ‘meletup’, Piya, 39, itu tidak pernah putus asa dan transformasi kariernya bermula dengan keazaman untuk capai apa yang diidamkan.

“Saya kena ada azam dan cita-cita. Dulu nak merasa ada nama, nak menang piala, nak rasa gaji besar dan bermain untuk skuad kebangsaan.

“Perjalanan untuk mula main bola sepak memang agak sukar. Saya pernah jalan kaki dan gatih (kayuh) basikal untuk ke tempat latihan,” katanya yang kini mewakili Kelantan United dalam saingan Liga Premier.

Piya kini aktif menjalankan pelbagai perniagaan sebagai persediaan sebelum bersara daripada bola sepak.

Jelas segala pengorbanan dan kesusahan dilalui sudah pun terbalas hingga mampu menyarung jersi Harimau Malaya hingga namanya sentiasa bermain di bibir peminat negeri itu.

Nama Piya mula ‘meletup’ pada 2010 ketika bantu The Red Warriors menamatkan penantian 89 tahun Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia.

Kelibatnya terus mencuri perhatian dan musim 2011 Piya mengetuai pasukan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak mula dipertandingan pada 2004.

Klimaksnya, 2012 menjadi tahun paling gemilang dalam kariernya ketika muncul watak penting buat Kelantan yang menjuarai tiga trofi dalam semusim, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Tahun berikut, Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA dan kejayaan terakhirnya bersama negeri kelahiran adalah muncul naib juara pertandingan itu pada edisi 2015.

Selain beraksi di Liga Premier bersama Kelantan United, Piya juga aktif menjalankan beberapa perniagaan seperti sos makanan Thailand, Mukbang, sambal ikan bilis Duo Botak, pewangi badan dan juga baju.

Dengan pengalaman baharu itu, Piya berharap dapat mengembangkan perniagaannya sebagai persediaan sebelum dia menggantung but.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Kelantan United, Piya, Red Warrior

Artikel Lain