suria

Hakimi bukan calang-calang pemain muda, rakam 10 gol Piala Presiden walau tak terpilih ke skuad negara

Hakimi kini menjadai ayam tambatan skuad Presiden.(Gambar kanan) Hakimi bertemu pemain Manchester United Romelu Lukaku.

USIANYA baru mencecah 18 tahun, tapi Muhammad Hakimi Mat Isa sudah melakar nama sebagai penjaring terbanyak Piala Presiden dengan 10 gol musim ini.

Bagi penyerang muda Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ini, kariernya tidak akan sampai ke tahap ini jika diri sendiri tidak ada minat dalam sukan bola sepak.

Mengimbas kembali kariernya, Hakimi mengakui semuanya bermula daripada abangnya Hasnan yang juga pemain sepak Liga Super untuk pasukan PKNP.

"Dulu ketika usia lima tahun, abang selalu bawa saya ikut ke padang, tengok dia main bola sepak. Sejak itu, saya terdorong untuk cuba sepak bola dan lama-kelamaan timbul minat untuk bermain secara serius.

"Ketika darjah 3 saya mula mewakili sekolah dan ketika darjah 6 berjaya mewakili negeri Perak ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Hakimi menjadi Ronaldo sebagai idolanya.

"Saya meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Sukan Gambang namun hanya dua tahun sahaja berada di situ. Masa tingkatan 3 saya bertukar ke sekolah sukan negeri (SMK Gunung Rapat Ipoh).

"Tetapi hanya sekejap sahaja kerana tukar ke sekolah negeri (SMK Tasek Permai) untuk memudahkan saya menjalani latihan," katanya kepada mStar.

Setahun kemudian Hakimi dipanggil untuk menyertai pasukan Belia Perak namun ibunya, Hanida Jamaluddin meminta ia ditangguhkan dahulu atas alasan dirinya masih muda. Malah, tahun itu juga (2017) dia menyertai program realiti 'Mencari Ramli".

Menurut Hakimi, dia antara peserta bernasib baik terpilih ke saingan akhir program itu dan terbang ke Manchester United.

"Pertama kali berjalan jauh. Ia pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Walaupun hanya 10 hari berada di sana, banyak juga pengalaman yang saya dapat dan digunakan sehingga sekarang.

"Sejak itu juga fokus saya terhadap bola sepak semakin serius, lebih-lebih lagi apabila dipanggil menyertai pasukan Piala Presiden di bawah jurulatih Rafae Isa.

Hakimi (depan) bersama abangnya Hasnan menjalani latihan bersama.

"Saya juga pernah dipanggil menjalani latihan pusat pasukan Bawah 18 Tahun Negara pada Mei lalu di bawah kendalian ketua jurulatih Bojan Hodak.

"Lebih kurang 11 hari juga berlatih dan selepas itu kami semua pulang tunggu panggilan pemain yang terpilih, malangnya nama saya tidak tersenarai," katanya.

Hakimi tidak menafikan berasa sedih kerana yakin sudah memberi yang terbaik ketika sesi latihan itu. Tetapi dalam masa sama dia sudah bersedia dengan sebarang keputusan kerana faham sistem pemilihan pemain.

"Tetapi saya yakin peluang saya untuk menapak lebih jauh terbuka luas apabila ketua jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim memujuk dan memberi semangat kepada saya.

"Dia ada cakap jangan sedih serta menasihati supaya terus berusaha kerana saya masih muda dan banyak peluang.

"Coach turut memanggil saya menyertai pasukan skuad utama Liga Super. Walaupun belum ada peluang bermain dalam senarai kesebelasan utama, sekurang-kurangnya saya mendapat banyak tip daripada pemain-pemain senior termasuk abang saya dalam pasukan ini," jelas anak kelima daripada tujuh orang adik beradik ini.

Hakimi (tengah) menjadi penjaring terbanyak Piala Presiden musim ini.

Jelas Hakimi yang menjadikan bintang Juventus Cristiano Ronaldo sebagai pemain idolanya, fokus utama sekarang adalah saingan suku akhir Piala Presiden.

"Setakat ini saya telah menjaringkan 10 gol untuk pasukan hasil usaha rakan-rakan sepasukan. Kini fokus saya hanya mahu meneruskan persembahan terbaik menentang skuad belia JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Tidak ada rasa gentar walaupun mereka selaku juara Kumpulan A. Bagi kami, misi utama adalah masuk padang bermain dengan baik dan cuba menang.

"Dan selepas itu, saya juga cuba bantu pasukan senior dalam aksi Piala Malaysia jika diberi peluang dalam barisan utama," katanya.

Dalam masa sama, Hakimi mengakui sokongan keluarga adalah faktor utama dia berada di tahap sekarang.

"Keluarga selalu datang tengok saya bermain. Sokongan mereka itu menjadikan semangat saya untuk melakukan yang lebih baik.

"Ibu antara orang paling rapat untuk berkongsi cerita selain daripada abang," katanya yang bercita-cita mahu bergelar pemain profesional satu hari nanti.

Hakimi, Mencari Ramli, PKNP, gol

Artikel Lain