Pernah lahirkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe, siapa Saad di NFDP? - Personaliti Sukan | mStar

Pernah lahirkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe, siapa Saad di NFDP?

Saad kini memegang jawatan Pengarah Teknikal NFDP.

TIDAK ramai menyedari kehadiran Saad Ichalalene, seorang warga Perancis berketurunan Algeria, yang menjadi antara watak penting menanam DNA dan corak permainan moden dalam kalangan pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Apabila Lim Teong Kim dipindahkan menjaga kelompok elit yang kecil di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016, Saad dilantik sebagai Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat, ditemani Franck Plaine dan Abdifitaah Mohd Hassan, bagi menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan.

Bekas jurulatih remaja Paris St Germain (PSG) ini merupakan antara individu yang melahirkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe sebelum ini.

Malah Saad yang kini berusia 32 tahun ini juga pernah menjadi ketua jurulatih Bawah 14 tahun dan penolong jurulatih Bawah 19 tahun PSG bertindak sebagai ketua jurulatih di peringkat kebangsaan.

Saad memberi taklimat kepada skuad mudanya.

Dilantik sebagai pengarah teknikal NFDP dalam penyusunan semula menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bersama Kementerian Pelajaran serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saad mengumpul pemain terbaik bawah 12 tahun negara untuk dibawa ke China.

Selepas tiga tahun sentuhan Saad mula dinilai dengan aksi pertama skuad muda ke saingan Piala Soong Ching Ling di Hangzhou minggu lalu.

Bagi Saad yang juga bekas rakan sepasukan Mamadou Sakho dan Yussuf Mulumbu di PSG, tempat ketiga di Hangzhou satu permulaan positif yang melambangkan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa, sekolah dan pengurusan tertinggi dalam kalangan Majlis Sukan Negara (MSN), KPM dan FAM.

“Walaupun dikumpulkan buat julung kali dan hanya menjalani latihan selama tiga hari, pemain mempamerkan corak permainan yang positif,” kata Saad yang mempunyai rekod mengasah bakat antara lain Alphonse Areola, Adrien Rabiot, Presnel Kimpembe serta Matteo Guendouzi dan Dan-Axel Zagadou di PSG.

Piala Soong Ching Ling adalah saingan lapan sebelah bawah 13 tahun anjuran Yayasan Soong Ching Ling, Persatuan Bolasepak China (CFA) dan Pusat Asean-China.

Saad bersama dua pembantunya.

Selain itu apa yang menarik mengenai skuad ini adalah empat pemain utamanya lahir dari keluarga bola sepak.

Antaranya pemain tengah Muhammad Aisy Al Hakim Hasnizam (Akademi Tunas Wangsa Maju), pemain yang diberi kepercayaan membekalkan peluang kepada jentera serangan diketuai oleh Nur Azim Assyakirin Azman yang akhirnya muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol.

Bapa Aisy, Hasnizam Uzir bukanlah nama asing dalam industri bola sepak tempatan.

Sebelum mencipta nama sebagai pengulas televisyen dan radio, Hasnizam yang juga anak kelahiran Johor Bahru adalah pemain remaja kebangsaan, dengan penampilan di Kejohanan Remaja Toulon, Perancis, pada 1995 antara kemuncak kerjayanya.

Bakat Nur Azim pula dikesan melalui program Akademi Tunas Timur Laut di Sungai Ara, Pulau Pinang serta bermain untuk Mutiara United Football Academy dalam Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang.

Skuad Bawah 13 Tahun meraih tempat ketika pada aksi di China minggu lalu.

Nur Azim dinobat sebagai Olahragawan SK Sungai Ara tahun ini, mengikut jejak langkah ibunya Rohana Ali yang terpilih sebagai Olahragawati sekolah yang sama pada 1985.

Bagi Kyle Joshua Skelchy pula, abangnya Hanz Daniel yang juga pelatih AMD dan pernah menyarung jersi skuad Bawah 13 tahun negara dalam Piala Supermokh, Tri-Series anjuran Akademi Aspire di Qatar adalah sumber inspirasi, selain bapanya Aylwin Henry Skelchy yang banyak memberi sokongan moral dengan mengikuti anaknya ke kejohanan luar negara.

Muhammad Shakir Sapien dari AT Kuala Terengganu lahir dalam keluarga bola sepak.

Dua abangnya Sharin dan Sharizan beraksi untuk Terengganu FC manakala sepupunya Firdaus Ramli adalah generasi perintis NFDP kendalian Lim Kim Chon pada 2011 dan kini anggota skuad Bawah 18 tahun.

Saad Ichalalene , NFDP , Pengarah Teknikal

Artikel Berkaitan

Artikel Lain