Antara Michael Owen, sate kuah kacang dan kuda - Personaliti Sukan | mStar

Antara Michael Owen, sate kuah kacang dan kuda

Micahel Owen pertama kali datang ke Malaysia pada usia 17 tahun. Foto: EPA

EKSKLUSIF

MAT Saleh menggemari sate mungkin sesuatu yang semakin biasa kita dengar, tetapi menyukai hidangan itu yang dicicah dengan kuah kacang yang pekat dan pedas memang rare.

Siapa sangka sate adalah pilihan bekas legenda Liverpool, Michael Owen yang mengakui amat menggemari hidangan popular di negara ini.

“Sate popular di England, jadi seronok apabila berpeluang merasainya ketika berada di sini, ia sesuatu yang berbeza kerana saya menggemari hidangan berasaskan rempah ratus.

“Rasanya agak berbeza berbanding di England, tetapi bentuknya seakan-akan sama. Namun sudah tentu hidangan sate asli dan tradisional adalah yang terbaik… sangat sedap,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama mStar Online.

Owen ditemui selepas selesai mengendalikan klinik bola sepak bersama pasukan bawah 19 (B-19) Selangor di Padang SUK, Shah Alam pada Selasa lalu.

Pada masa sama, bekas penyerang England itu berkata dia gembira dapat berkunjung ke negara ini untuk bertemu peminatnya selepas tidak berpeluang melakukannya semasa bergelar pemain.

“Kali pertama saya datang ke sini semasa berusia 17 tahun untuk bermain bola sepak. Tapi kali ini saya datang dengan kerjasama Cadbury, penyokong kuat Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Seronok dapat datang semula ke sini kerana makanannya yang berbeza dan masyarakatnya peramah. Walaupun Malaysia terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum, semua berkongsi minat yang sama iaitu bola sepak dan EPL,” katanya.

Umum mengetahui Owen sebagai bekas pemain bola profesional tetapi bapa kepada empat cahaya mata ini sebenarnya turut meminati sukan lumba kuda.

Minat terhadap haiwan dan sukan lasak itu mendorongnya dan isteri, Louise Bonsall untuk memiliki sebuah kandang lumba kuda yang berpangkalan di Cheshire, England.

Sate popular di England, jadi seronok apabila berpeluang merasainya ketika berada di sini, ia sesuatu yang berbeza kerana saya menggemari hidangan berasaskan rempah ratus.

MICAHEL OWEN

“Ketika saya masih bermain bola sepak, saya sentiasa meminati sukan lumba kuda. Saya suka kelajuan dan kuda. Saya memiliki sebuah ladang di England ketika berusia 25 tahun.

“Kemudian saya menukarnya kepada sebuah kandang lumba kuda yang kini dikenali sebagai Manor House Stable. Orang ramai turut datang menghantar kuda mereka untuk dilatih pasukan saya,” katanya yang kini usiannya mencecah 40 tahun dan kini gemar menunggang Calder Prince.

Sejak ditubuhkan 15 tahun lalu, bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu berkata pasukannya kini memiliki hampir 100 kuda lumba.

“Ia perniagaan yang besar. Saya juga memiliki 40 kakitangan dan kami terlibat dengan perlumbaan kuda di United Kingdom.

“Saya sendiri pernah berlumba di Australia, Dubai dan beberapa negara lain. Ia amat menyeronokkan dan mencabar. Itulah hobi saya selain bola sepak,” katanya yang pertama kali menjuarai perlumbaan ketika menggunakan khidmat kuda jantan, Brown Panther, namun ia telah meninggal dunia pada 2015.

Ditanya sama ada dia merancang untuk terjun ke bidang pengurusan, Owen, 40, berkata ia sesuatu yang mustahil.

“Semasa muda pengurusan adalah sesuatu yang sentiasa bermain di fikiran dan jiwa saya. Kemudian apabila usia semakin meningkat, minat itu bertukar kepada perkara lain.

“Saya menikmati banyak perkara mengenai sukan lumba kuda. Saya juga seorang pengulas sukan. Jadi saya ada pelbagai kerja. Banyak perkara yang saya seronok lakukan sejak bersara.

"Jadi saya tidak fikir akan jadi pengurus Liverpool pada masa hadapan. Mungkin suatu hari nanti seseorang seperti Steven Gerrard bakal mengendali Liverpool. Namun Jurgen Klopp menjalankan tugasnya dengan baik ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Owen turut memberitahu dia dalam proses menyiapkan autobiografinya yang akan dipasarkan dalam tempoh lima bulan lagi.

“Ia sesuatu yang menyeronokkan kerana semasa bermain bola sepak anda harus mengawal setiap percakapan anda. Anda ada pendapat sendiri tetapi ada batasannya.

“Anda perlu menghormati pengurus dan rakan pasukan serta media. Jadi anda tak boleh bercakap mengenai sesuatu yang agak luar biasa untuk diluahkan.

“Jadi selepas bersara seronok mengimbau kenangan lalu. Saya boleh luahkan apa yang saya rasa dan lalui semasa bermain dengan Liverpool, Manchester United dan juga Real Madrid… sesuatu yang anda tidak pernah katakan semasa bergelar pemain,” katanya.

Micahel Owen

Artikel Lain