suria

Ferdinand bantah keputusan hentikan melutut sebelum perlawanan

Pemain dan staf EPL hanya akan berlutut pada perlawanan tertentu. foto PA

RIO Ferdinand tidak bersetuju dengan keputusan kapten kelab Liga Perdana Inggeris untuk menghentikan amalan melutut sebelum setiap perlawanan.

Beliau menegaskan isyarat itu kekal sebagai alat 'berkuasa' menentang perkauman dan diskriminasi.

Ketua-ketua 20 kelab teratas memilih untuk mengurangkan bilangan mereka melutut semasa musim 2022-23 daripada setiap perlawanan kepada tujuh, tetapi berkata pemain tetap komited sepenuhnya untuk memperjuangkan kesaksamaan itu.

Keputusan itu dibuat sebelum permulaan musim ini, dengan cadangan bahawa isyarat menentang perkauman dan penderaan dalam bola sepak telah kehilangan sedikit maknanya.

Para pemain terus mengambil pendirian sejak itu, tetapi kini akan memilih masa tertentu untuk berbuat demikian pada musim ini.

Pemain akan melutut semasa pusingan pembukaan perlawanan bermula dengan Crystal Palace menentang Arsenal pada Jumaat, pada Boxing Day, perlawanan akhir Piala FA dan Piala Liga, hari terakhir musim dan minggu apabila kempen 'No Room For Racism' diadakan, pada Oktober dan November.

"Adakah kita mengatakan perkauman telah dihapuskan daripada permainan sekarang dengan mengurangkannya sedikit?

"Bagaimana kami memilih permainan yang kami akan lakukan(berlutut)? Soalan-soalan ini perlu dijawab," soal Ferdinand.

"Anda perlu menghargai dan menghormati bahawa kapten telah membuat keputusan tetapi itu bukan keputusan yang saya akan undi," tambahnya.

Amalan melutut sebelum setiap perlawanan mula diperkenalkan pada 2020 semasa 'Project Restart' sebagai tanda solidariti berikutan pembunuhan kejam George Floyd oleh seorang pegawai polis di Minneapolis.

Isyarat itu diteruskan walaupun terdapat kritikan bahawa perbuatan tersebut mempunyai konotasi politik.

Sumber memberitahu Sportsmail pada musim panas bahawa beberapa individu mahu isyarat itu dibatalkan kerana ia terbukti terlalu memecah-belah. - Mail Online

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain