suria

Gelombang haba: Villa mewah John Terry, Steven Gerrard di Portugal diancam kebakaran

Penghuni villa Pinheiros Altos diarahkan mengosongkan kediaman selepas api dan asap tebal mula meliputi kawasan tersebut.

SEBUAH pusat peranginan mewah di Portugal, yang merupakan lokasi villa milik bekas bintang England, John Terry dan Steven Gerrard, telah diarahkan untuk dikosongkan susulan kebakaran hutan yang mula merebak ke kawasan elit berkenaan.

Kira-kira 70 pemilik kediaman diminta meninggalkan hartanah mereka pada tengah hari Rabu berikutan api dan asap tebal yang mula meliputi villa Pinheiros Altos, yang merupakan sebahagian daripada pusat peranginan terkenal Quinta do Lago.

Arahan untuk berpindah dilanjutkan ke seluruh bahagian timur resort dan beberapa jalan di kawasan itu telah ditutup.

Portugal pada Isnin mengeluarkan amaran berjaga-jaga ekoran kebakaran hutan yang menjejaskan negara itu.

Ia dikatakan antara kebakaran paling teruk di negara berkenaan dalam tempoh beberapa dekad.

Hampir 3,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran hutan yang berpunca daripada gelombang haba.

Pakar klimatologi, Carlos da Camara berkata risiko kebakaran hutan di Portugal adalah yang tertinggi dalam tempoh 42 tahun lalu.

Untuk rekod, kebakaran hutan pada Jun 2017 yang berlaku berhampiran bandar Pedrogao Grande, mengorbankan 64 orang dengan lebih 250 yang lain dilaporkan cedera. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain