suria

Sembunyi aset di luar negara, bekas bos F1 bakal didakwa di mahkamah

Ecclestone (baju putih) akan dihadapkan ke mahkamah pada 22 Ogos.Foto: Getty.

BERNIE Ecclestone bakal dihadapkan ke muka pengadilan selepas didakwa menyembunyikan aset bernilai £400 juta (RM2.1 bilion).

Bekas ketua Formula Satu (F1) itu didakwa gagal mengisytiharkan hartanya di luar negara kepada kerajaan United Kingdom (UK).

Jutawan berusia 91 tahun itu dituduh melakukan satu pertuduhan penipuan dengan representasi palsu selepas disiasat oleh HM Revenue and Customs (HMRC).

Dia dijadual hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada 22 Ogos untuk menghadapi pertuduhan jenayah.

Andrew Penhale, Ketua Pendakwa Raya, berkata: “Pihak kami telah menyemak fail bukti daripada HMRC dan telah membenarkan pertuduhan terhadap Bernard Ecclestone kerana penipuan melalui representasi palsu berhubung kegagalannya untuk mengisytiharkan kepada HMRC serta kewujudan aset yang dipegang di luar negara yang dipercayai bernilai melebihi £400 juta."

"Kami boleh mengesahkan bahawa penipuan dengan pertuduhan representasi palsu telah dibenarkan terhadap Bernard Ecclestone," ujar Simon York pula yang memegang jawatan pengarah Perkhidmatan Penyiasatan Penipuan HMRC.

Jutawan itu baru-baru ini turut menjadi bualan ramai apabila menyatakan sokongannya terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin.

Malah, dia juga mendakwa masih berkawan dengan Putin selepas insiden pencerobohan di Ukraine. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain