suria

Piala Thomas: Momota balas dendam, Malaysia tewas 1-4 kepada Jepun

Pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota menewaskan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.

MALAYSIA tewas 1-4 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Thomas di Aarhus, Denmark.

Keputusan itu menyaksikan skuad badminton negara terpaksa berpuas hati menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun sudah pun mara ke suku akhir.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tewas tipis kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota 21-15, 12-21, 21-23.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kembali bergandingan selepas dipisahkan ketika aksi pertama bertemu Kanada, semalam turut mengalami nasib sama apabila tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 13-21, 13-21.

Jepun meraih kemenangan menerusi perseorangan lelaki kedua mereka, Kanta Tsuneyama yang menewaskan wakil negara, Cheam June Wei 22-20, 21-13.

Beregu lelaki kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut gagal melakar kemenangan apabila mereka tewas kepada Akira Koga-Yuta Watanabe 10-21, 16-21.

Malaysia bagaimanapun berjaya mencuri satu mata menerusi perseorangan lelaki ketiga negara, Leong Jun Hao yang menewaskan Kenta Nishimoto 21-19, 21-18.

Malaysia bakal bertemu Indonesia di peringkat suku akhir.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

piala thomas, jepun, malaysia, momota, zii jia

Artikel Lain