suria

Laporan penuh kes Ziyad di Paralimpik Tokyo 2020 diketahui minggu depan

Pengerusi jawatankuasa siasatan itu, Tan Sri Borhan Dolah akan berjumpa Menteri KBS menerangkan hasil siasatan dan mengsyorkan tindakan lanjut yang boleh diambil.

LAPORAN penuh siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dijangka siap minggu hadapan.

Pengerusi jawatankuasa siasatan itu, Tan Sri Borhan Dolah dilaporkan berkata, 10 individu dipanggil untuk membantu siasatan terbabit antaranya Ziyad sendiri, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.

"Alhamdulillah apa yang saya boleh rumuskan adalah siasatan pada Isnin dan Selasa lalu berjalan lancar. Kesemua 10 individu dipanggil memberi kerjasama yang amat baik dalam membantu siasatan kami.

"Pihak kami berpuas hati dengan bukti dikemukakan mereka dan tiada lagi individu tambahan akan dipanggil lagi selepas ini. Kesemua maklumat diperoleh sudah cukup bagi kami untuk menyiapkan laporan yang dijangka siap minggu depan,” katanya.

Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menjangkakan kesemua hasil siasatan termasuk laporannya akan dapat diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum hujung bulan ini.

Katanya, pihaknya akan berjumpa dengan Menteri KBS Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada satu tarikh yang bersesuaian selepas penyerahan laporan tersebut bagi menerangkan dengan lebih lanjut hasil siasatan, mengsyorkan tindakan lanjut yang boleh diambil dan menjelaskan sebarang keraguan kepada KBS.

Borhan memberi jaminan bahawa pihaknya bersedia untuk melakukan siasatan tambahan sekiranya KBS tidak berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibentangkan. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain