suria

Covid-19: Atlet negara dilarang sertai kejohanan di lima negara

Kesemua atlet negara dilarang menyertai sebarang kejohanan atau latihan di lima negara sepanjang bulan Mac. Gambar fail.

SUSULAN penularan Covid-19, kesemua atlet negara dilarang menyertai sebarang kejohanan atau latihan di lima negara iaitu China, Korea Selatan, Iran, Jepun dan Itali sepanjang bulan ini.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dan taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu, dan semua persatuan sukan bersetuju untuk mematuhi arahan itu.

Beliau berkata persatuan dan atlet juga diminta untuk menangguhkan sebarang penyertaan bagi kejohanan bukan sasaran atau bukan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta kejohanan pendedahan melibatkan selain daripada di lima negara itu kerana MSN tidak akan menyediakan peruntukan bagi tujuan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sukar untuk tangguh perlawanan, Liga-M mungkin berlangsung dalam stadium kosong

"(Namun) sebarang kejohanan sasaran khususnya yang melibatkan proses kelayakan (ke Sukan Olimpik) bagi kejohanan utama, persatuan perlu berbincang dengan pasukan, atlet atau jurulatih masing-masing dari segi kesediaan untuk bertanding.

"Kita tidak mahu atlet pergi untuk bertanding dengan separuh hati, ketakutan dan kerisauan disebabkan masalah Covid-19," katanya selepas sesi taklimat Covid-19 oleh KKM yang dihadiri 23 persatuan sukan di MSN, pada Rabu.

Ahmad Shapawi turut meminta agar persatuan sukan mengikut saranan dikeluarkan MSN itu, namun jika ada persatuan tetap mahu menyertai kejohanan atau latihan di luar negara pada bulan ini, mereka boleh meneruskan perancangan tanpa peruntukan daripada MSN.

Beliau berkata pada masa ini, larangan itu hanya dilaksana sepanjang bulan Mac, dan MSN akan terus memantau program melibatkan atlet dari semasa ke semasa mengikut bulan berdasarkan nasihat daripada KKM.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Ahmad Shapawi menasihatkan atlet agar menjadikan ‘self-assessment’ sebagai rutin dan mengelak sebarang aktiviti melibatkan orang ramai serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku penangguhan Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun susulan wabak Covid-19, Ahmad Shapawi menjelaskan pihaknya sentiasa bersedia terhadap perkara itu.

“Kita sentiasa bersedia ke arah itu (jika Sukan Olimpik 2020 ditangguh) walaupun belum ada kata putus daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). IOC pun sedang memantau seperti kita, mengikut bulan," katanya. - BERNAMA

atlet, Covid-19, Iran, Itali, China

Artikel Lain