suria

Kelompok 15 terbaik dunia bukti skuad kanu polo negara bukan pasukan 'lauk' - Masca

Skuad Malaysia beraksi di Perancis awal bulan ini. Foto: Facebook Kanu Polo Malaysia

SKUAD kanu polo negara menganggap pencapaian ke-14 daripada 15 pasukan terbaik dunia pada Kejohanan Antarabangsa Pas De Calais di Perancis baru-baru ini sebagai sesuatu yang positif.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata walaupun menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot, namun banyak perkara yang dipelajari lapan barisan pendayung negara.

Katanya, dengan status kanu yang masih baharu 'bertapak' di Malaysia, pencapaian itu sudah boleh dianggap cukup bagus memandangkan pasukan negara kali ini sekadar diwakili majoriti atlet di bawah usia 21 tahun.

"Di Malaysia sukan ini mungkin belum mendapat tempat tetapi di Eropah ia menjadi antara sukan yang digemari peminat sana.

"Jadi apabila mendapat tempat kedua terakhir daripada 15 negara kuasa besar kanu polo dunia ia membawa makna yang amat besar kepada kami (Masca).

Megat Shahriman (duduk tiga dari kiri) bergambar bersama barisan exco pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kanu Negeri Sembilan pada Rabu.

"Selalunya pasukan baharu masuk akan menjadi 'lauk' tetapi sebaliknya buat kami yang mendapat pendedahan beraksi di Eropah terutamanya dalam keadaan air sejuk, kiranya ia satu pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya.

Menurut, Shahriman kanu polo tidak dipertandingkan di Sukan SEA Filipina 2019, namun tetap penting untuk memberi pendedahan kepada atletnya kerana ia menjadi antara salah satu acara utama di Sukan Asia Hanzhou 2022.

"Selepas ini mereka akan bertanding dalam dua kejuaraan termasuk Kejohanan Kanu Polo Asia 2019 dan kejohanan terbuka di Pattaya, Thailand pada hujung tahun ini," katanya.

Kanu polo, Megat Shahriman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain