Pendayung kayak solo negara dianugerah MBOR - Sukan | mStar

Pendayung kayak solo negara dianugerah MBOR

Murad (dua kanan) menerima plak dari Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong pada Isnin. Turut kelihatan Megat Shahriman (kiri).

PENDAYUNG kayak solo negara, Murad Mohd Kassim menempa nama dalam Malaysian Book of Records (MBOR) apabila berjaya menongkah arus Sungai Perak sejauh 350.92 kilometer (km).

Pesara Tentera berusia 49 tahun itu memulakan jelajah solo terbabit sejak 12 hari lalu di Beting Beras Basah, Bagan Datuk, Perak sebelum tiba ke garisan penamat di Tasik Banding pada Isnin.

Menerusi Ekspedisi Legenda Arus Sungai Perak itu menyaksikan dia turut melintasi 17 jambatan bersejarah, tiga tasik dan empat empangan di negeri tersebut.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata kejayaan Murad itu boleh dianggap luar biasa memandangkan laluan yang begitu mencabar di Sungai Perak.

"MBOR menetapkan sasaran lebih 300km untuk mengiktiraf ia sebagai rekod kerana ini adalah kali pertama.

"Kejayaan ini dapat dijadikan contoh buat golongan belia dan kami di MASCA amat menyokong kepelbagaian aktiviti berkayak seperti dilakukan pendayung kita ini," katanya.

Ekspedisi anjuran Kerajaan Negeri Perak itu mendapat kerjasama Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia dengan sokongan MASCA dan Persatuan Kanu Negeri Perak.

Murad sebelum ini turut pernah melakukan jelajah solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh selama 52 hari pada 2015 selain beberapa lagi rekod lain.

Pendayung Kayak , Sungai Perak

Artikel Lain

Henti siasat empat suspek MH17