suria

Belum ada nama, tapi ada 2 tahun pengalaman di England, bapa harap Kudik main untuk JDT

Yusry atau dikenali Kudik akan kembali ke Malaysia pada Jun ini.

HUJUNG Jun ini pelatih muda di Brooke House College Football Academy Mohd Yusry Haziq Idris kembali ke tanah air selepas dua tahun berkelana di England.

Pemain muda kelahiran Sarawak berusia 17 tahun itu merupakan antara salah seorang daripada dua pemenang Program Million Dollar Feet (MDF), yang diasaskan legenda Liverpool, Steve McMahon pada 2016.

Yusry Haziq atau lebih dikenali sebagai Kudik (ribut dalam bahasa Sarawak) terbang ke Leicestershire bersama seorang lagi pemenang, Adam Kris Azman pada September 2017.

Bapa kepada anak keempat daripada lima orang adik beradik itu, Idris Ismail,49, memberitahu dia amat teruja dan berharap Yusry akan menjadi seorang pemain bola sepak yang lebih matang berbanding sebelum ke England.

ARTIKEL BERKAITANYusry Haziq bakal tamatkan latihan di UK, bapa anggap jolokan 'Neymar Malaysia' masih jauh

Yusry Haziq (tengah) bersama rakan sepasukan Brooke House College Academy.

"Gembira kerana dia berjaya menamatkan latihan bersama salah sebuah kelab bola sepak terbaik di England dengan jaya.

"Dua tahun berjauhan dengan keluarga membuktikan dia seorang yang cekal dan mempunyai keazaman untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

"Saya harap apabila dia kembali nanti, Kudik akan menjadi seorang yang lebih matang dan dapat berkongsi serta mengembangkan ilmu yang dipelajarinya itu dengan baik," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bukan kelab lain tidak bagus, cuma JDT sebuah kelab yang sempurna bagi pemain bola sepak muda seperti Yusry dalam megembangkan bakatnya.

IDRIS ISMAIL

Jelas Idris, beberapa bulan sebelum anaknya kembali ke Malaysia, dia telah mencongakkan beberapa perancangan untuk Yusry.

"Saya cuma merancang memandangkan buat masa sekarang Yusry tidak terikat dengan mana-mana kontrak persatuan atau kelab.

"Sudah tentu saya tidak mahu bakat dan usahanya itu disia-siakan.

Yusry Haziq (kiri) bersama Adam Kris Azman di Stadium Nottingham Forest FC.

"Kalau boleh saya mahu dia mencuba nasib bersama Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT). Saya tahu Yusry belum ada nama lagi, tetapi yakin dengan bakat dan pengalamannya dia mampu memberikan sesuatu kepada kelab itu.

"Saya berminat untuk memasukkan Yusry ke JDT kerana semua orang tahu kredibitliti kelab ini di Malaysia. Dengan program, pengurusan, fasiliti yang moden ia dapat membantu Yusry mencapai cita-citanya untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

"Bukan kelab lain tidak bagus, cuma JDT sebuah kelab yang sempurna bagi pemain bola sepak muda seperti Yusry dalam megembangkan bakatnya," ujar Idris tanpa berselindung.

Dalam pada itu Idris memberitahu, dia juga bersikap terbuka sekiranya ada mana-mana kelab yang ingin menawarkan kontrak kepada anaknya.

"Seperti yang saya beritahu, saya mahupun Yusry terbuka dalam  perkara ini. Asalkan kelab itu dapat menjaga kebajikan dan mengasuhnya menjadi pemain lebih baik, saya terima," tambah Idris.

Artikel Berikut

Artikel Lain