Ziyad teruja sambut kelahiran anak lelaki, “Keluarga saya sudah lengkap, perlu kerja lebih keras” - Sukan | mStar

Ziyad teruja sambut kelahiran anak lelaki, “Keluarga saya sudah lengkap, perlu kerja lebih keras”

Ziyad menyambut kelahiran anak keduanya 6 April lalu. -foto Instagram

KELAHIRAN Tariq Xavier dua minggu lalu menambah semangat atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli.

Atlet lontar peluru berusia 29 tahun itu amat teruja dengan kehadiran putera sulung dalam keluarganya selepas menyambut kelahiran anak perempuan Zuhayra Zafra pada tahun 2017.

Ziyad dalam satu temuramah bersama mStar berkata dia bertuah kerana sempat menyambut sendiri kelahiran bayi lelakinya, sehari selepas pulang daripada menjalani latihan di Jerman selama tujuh minggu.

“Sepatutnya 6 April lalu adalah pemeriksaan terakhir isteri saya (Zafirah Mohd Nasir) sebelum bersalin.

“Tetapi Allah permudahkan segala urusan apabila dia bersalin pada hari itu. Saya amat gembira,” ujar pemengang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 ini.

Ziyad mahu fokus dua kejohanan utama tahun ini.

Ziyad mengakui kehadiran Tariq Xavier menambah lagi semangat untuk dia berusaha lebih keras dalam kariernya.

“Sudah ada anak perempuan, kini hadir pula anak lelaki sekali gus tanggungjawab semakin besar.

“Saya jarang bersama mereka kerana jadual latihan yang padat, namun keutamaan tetap diberikan kepada keluarga,” jelasnya.

Mengenai karier semasa, Ziyad memberitahu sesi latihan di Jerman sejak Februari lalu menaikkan lagi semangatnya untuk mencipta rekod baharu dalam acara kegemarannya.

“Di Jerman sesi latihan lebih kurang sahaja dengan Malaysia. Cuma mencari suasana dan beberapa teknik baharu.

“Tumpuan utama saya tahun ini adalah Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai September ini.

“Selain itu fokus untuk Sukan Para Asean di Filipina (November) selain layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Dalam tempoh beberapa bulan yang ada ini, saya yakin akan dapat kekal konsisten dan fokus sepenuhnya untuk cuba merakam rekod baharu,” katanya.

Sebagai rekod, Ziyad mencipta rekod dunia 17.29 meter  pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London dua tahun lalu, memecahkan catatannya sendiri 16.84m pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ziyad , Tariq Xavier

Artikel Lain