suria

Kedah waspada ancaman KL, mahu pulang dengan 3 mata

Pemain-pemain Kedah menjalani latihan ringan menjelang perlawanan malam ini. Foto kredit: Kedah FA

KEDAH mengambil langkah berwaspada ketika berdepan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di ibu negara pada Sabtu malam, walaupun skuad tuan rumah berada di kedudukan bawah carta liga.

Ini kerana, barisan kejurulatihan skuad hijau kuning tidak rela dikejutkan Kuala Lumpur sehingga terpaksa pulang tanpa sebarang mata.

Berikutan itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Ishak sedia melakukan rombakan terhadap kesebelasan utamanya apabila turun berdepan skuad tuan rumah.Menurutnya, Kedah menghormati setiap lawannya dan akan turun dalam keadaan bersedia dengan membariskan kesebelasan terbaik.

"Kita akan merombak kesebelasan utama yang bermain ketika saingan Piala FA, kita mahu skuad yang lebih mantap apabila menentang Kuala Lumpur.

"Kita tidak mahu menjadi mangsa tuan rumah yang sedang berusaha untuk bangkit dan memungut mata. Oleh itu pemain perlu memberi sepenuh perhatian dalam perlawanan kali ini.

"Saya tidak akan berfikir panjang untuk mengeluarkan pemain yang tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan dalam perlawanan kali ini kerana kita mahu pulang dengan tiga mata.

"Saya yakin kita dapat memberikan aksi terbaik kerana rata-rata pemain utama juga telah bersedia untuk diturunkan, cuma mereka perlu fokus dan tidak melakukan kesilapan.

"Pertahanan tengah kita, Renan Alves juga dapat beraksi kembali dan kehadirannya akan membantu memantapkan lagi barisan pertahanan Kedah," katanya.

Selain itu, beliau turut mengharapkan kehadiran penyokong Kedah di Lembah Klang akan dapat menaikkan  semangat pemain untuk memastikan kemenangan menjadi milik skuad tersebut.

Kedah, Liga Super

Artikel Lain