suria

Takhta Liga Super kembali dikuasai JDT

Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid cuba melepasi kekangan pemain Felda United Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin di Johor, Jumaat malam. Foto Bernama

TAKHTA Liga Super kembali dikuasai pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menewaskan Felda United 3-1 dalam perlawanan penuh dramatik, Jumaat malam.

Skuad Harimau Selatan kini mengumpul 20 mata selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa kalah, setakat ini.

Pada aksi berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin di Johor itu menyaksikan anak buah Luciano Gabriel Figueroa dan Rosli Hussein saling melakukan asakan pada babak pertama untuk mencari gol pendahuluan namun tidak membuahkan hasil.

Pada minit ke-60, Felda United terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Zahril Azri Zabri mengutip kad kuning kedua kerana menjatuhkan Ignacio Insa Bohigues.

Pasukan pelawat terus kehilangan pemain apabila Thiago Junio De Aguino dilayangkan kad merah kerana melengah-lengahkan permainan selepas mengutip dua kad kuning pada minit ke-82 dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Gonzalo Cabrera untuk menjaringkan gol seminit kemudian.

Perlawanan semakin tegang selepas kapten pasukan pelawat, Muhammad Hadin Azman turut diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, bagaimanapun skuad The Fighters berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 hasil rembatan Kei Ikeda.

Susulan insiden yang berlaku semasa permainan sebenar, pengadil perlawanan Fitri Maskon memberi lapan minit masa tambahan dan peluang itu diambil sebaik mungkin pemain JDT untuk meledakkan dua gol menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan seterusnya Diogo Luis Santo.

Sementara itu, dalam saingan tunggal Liga Premier, JDT II gagal meneruskan rentak kemenangan setelah seri 1-1 berdepan pasukan bawahan liga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keputusan itu, bagaimanapun sudah mencukupi untuk JDT II memintas Sabah di tangga teratas Liga Premier, namun kedudukan tersebut bakal berubah sekiranya Sabah menewaskan Selangor United di venue sama, Sabtu.

Pada aksi Jumaat, JDT II terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Mohamad Ghaddar pada minit ke-56, setelah percubaan rakan sepasukan pemain antarabangsa Lubnan itu ditepis menggunakan tangan oleh pemain PDRM dalam kotak penalti.

Muhammad Fauzan Mohd Fauzi, bagaimanapun, menyelamatkan maruah PDRM apabila menanduk masuk bola hasil sepakan percuma rakan sepasukan pada minit ke-86 dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan. - Bernama

JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain