suria

Aidil Sharin mula mengenali kemampuan pemain Kedah

Skuad hijau kuning selepas sesi latihan terakhir di Taman Ekuestrian Putrajaya, Jumaat lepas. -foto Kedah FA

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui lebih mengenali kemampuan pemain skuad hijau kuning sejak Liga Malaysia bermula dalam melakukan percaturan lebih baik.

Ketua jurulatih dari Singapura itu memberitahu, kemampuan pemain di setiap posisi termasuk pemain muda telah dikenal pasti dengan lebih baik selepas tiga perlawanan persahabatan di Lembah Klang minggu lalu.

Menurutnya, usaha mengenal pasti kebolehan pemain itu dibuat bagi membentuk sebuah pasukan lebih baik termasuk membuat penggantian pemain utama yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.

Jelas beliau, selain itu, ia juga menjadi persediaan skuad berkenaan untuk menghadapi JDT di Stadium Darul Aman minggu ini.

"Kita sedang berusaha untuk memahami kemampuan pemain agar ia tidak merencatkan permainan apabila penggantian atau penggiliran pemain dilakukan. Hasil perlawanan persahabatan ini saya berpuas hati dengan aksi mereka.

"Kami di barisan jurulatihan kini telah mengetahui posisi yang mampu diberikan kepada setiap pemain. Malah kita juga kenal pasti mereka yang dapat beraksi sepanjang 90 minit permainan.

"Apa yang dilakukan bukan sahaja untuk memenangi perlawanan dan piala tetapi kita ingin mengubah sikap dan mentaliti pemain supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap tugas sebagai pemain Kedah," katanya kepada mStar Online.

Aidil Sharin menambah, pasukan Kedah mampu menjadi sebuah skuad yang digeruni dan mantap jika semua pemain dapat beraksi dengan sebaik mungkin seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari sepanjang permainan.

Beliau selain itu turut menanti untuk menurunkan semula Renan Alves yang digantung perlawanan selepas menerima kad merah sebelum ini.

"Jika dia tidak dapat diturunkan minggu ini akan ke pelan seterusnya dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada pemain lain.

"Namun semua pemain perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana usaha mereka amat penting untuk pasukan ini," ujarnya.

Aidil Sharin, pemain Kedah, jurulatih

Artikel Lain