Prihatin keperluan atlet para, Shahriman pertimbang isi kerusi lembaga pengarah Yakeb - Sukan | mStar

Prihatin keperluan atlet para, Shahriman pertimbang isi kerusi lembaga pengarah Yakeb

Shahriman (tengah) bersama Azhari serta kapten pasukan bola sepak orang buta kebangsaan, Amirul Arif Mahadhir (kanan).

PASUKAN bola sepak orang buta kebangsaan menarik nafas lega apabila menerima tajaan dalam bentuk jersi untuk kegunaan sepanjang latihan serta kejohanan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM), Mejar Azhari Abdullah memberitahu, kehadiran Fox Marketing dianggap rezeki besar dikala pihaknya memang memerlukan dana.

"Tiba-tiba mereka datang sudi menghulur bantuan berupa pakaian dan lebih penting berjanji  cuba mencari venue latihan yang sesuai.

"Mungkin ia akan mengambil masa untuk mencari tempat yang sesuai, tetapi sekurang-kurangkan ia memberi harapan buat pasukan dalam persiapan kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 di Bangkok, September ini.

"Sudah pasti pemain-pemain akan lebih bersemangat. Buat masa sekarang pasukan berlatih  di Cruyff Court, Jalan Semarak dengan ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Selain itu, kami tidak perlu lagi risau mengenai kelengkapan pakaian latihan, peralatan dan pakaian rasmi ke kejohanan memandangkan pihak Fox Marketing telah menaja pasukan dengan jumlah RM5,000.

"Cuma sekarang kami perlu berusaha mencari dana bagi lain-lain kos pasukan untuk bertanding di luar negara," jelasnya ketika ditemui mStar Online selepas menerima tajaan berkenaan.

Skuad bola sepak orang buta Malaysia kini menduduki tangga ke-16 dunia dan kelima Asia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fox Marketing Sendirian Berhad, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memberitahu, pihaknya akan terus menaja atlet-atlet atau pasukan para dalam merealisasikan impian mereka.

"Sebelum ini kami telah menandatangani tiga atlet para negara iaitu Mohamad Afiq Ali Hanafiah, Mohamad Ashraf Haisham dan Ahmad Solihim sebagai duta rasmi.

"Program atau penglibatan kami tidak berhenti di sini sahaja kerana selepas ini akan terus menyalurkan sumbangan dalam membantu atlet para kebangsaan.

"Kami juga akan cuba membantu mereka mencari venue latihan yang sesuai dan mengikut perancangan Stadium Raja Muda, Kampung Baru paling sesuai kerana ia bukan sahaja sebagai lokasi latihan, sebaliknya dijadikan home ground pasukan kebangsaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Shahriman turut mengulas mengenai pelantikan presiden baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) minggu lalu.

Shahriman adalah antara individu yang menyuarakan hasrat untuk menerajui yayasan berkenaan bagi membantu kebajikan bekas atlet-atlet negara.

"Seperti yang  diberitahu sebelum ini, terpilih atau tidak saya akan teruskan usaha untuk membantu atlet-atlet negara.

"Presiden Yakeb ( Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed) ada menghubungi saya untuk menyampaikan hajat mengenai lantikan sebagai ahli lembaga pengarah.

"Saya amat terbuka dengan tawaran tersebut, tetapi masih menunggu surat rasmi untuk dipertimbangkan," katanya.

Artikel Berikut

LTdL 2019 kembali ke Genting Highlands

Artikel Lain