suria

LTdL 2019 kembali ke Genting Highlands

Laluan Genting Highlands kembali dalam peta LTdL tahun ini selepas empat edisi.

SETELAH  'menghilang' selama empat edisi, pendakian Genting Highlands kembali tersenarai dalam perlumbaan jelajah berbasikal terbesar Asia Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL2019) yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 April depan.

Namun, hasrat awal penganjur untuk menyenaraikan pendakian di Cameron Highlands tidak dapat diteruskan berikutan mahu memberi tumpuan laluan di kawasan pantai barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa berkata perlumbaan peringkat keempat itu akan bermula dari Shah Alam sejauh 115km, menyaksikan pakar pendakian merebut jersi Raja Bukit dan mungkin juga selaku pendahulu keseluruhan.

“Laluan ada perubahan sedikit, kami telah serahkan kepada UCI mengenai laluan yang dimuktamadkan pada 6 Mac lalu. Secara keseluruhan hampir 80 peratus sudah selesai, dan kami bersedia untuk memulakan perlumbaan.

“Genting Highlands ikonik. Alhamdulillah pihak Genting Highlands setuju dengan memberi kami laluan di situ. Sudah pasti bagi pelumba, Genting adalah sangat istimewa. Pemilihan laluan Genting itu juga kami ambil kira daripada maklum balas pasukan.

“Peminat perlumbaan LTdL bakal menyaksikan ‘Greater climbers' daripada Colombia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengelola LTdL2019 di Menara KBS, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengesahkan setakat ini dua pasukan profesional akan beraksi pada perlumbaan itu yang melibatkan penyertaan keseluruhan 22 pasukan.

Pelancaran akan diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Khamis ini.-Bernama

LTdL 2019, Genting Highlands

Artikel Lain