suria

PFAM sambut baik saranan TMJ selesaikan kemelut tunggakan gaji pemain

Tunku Ismail. - Foto Bernama

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik langkah Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, PFAM berbesar hati, apabila MFL turut senada bersama PFAM dalam kemelut melanda pemain profesional Liga Malaysia (Liga-M).

"PFAM sememangnya sangat serius dan komited dalam memperjuangkan isu tunggakan gaji pemain. Tanpa menafikan masalah yang mungkin dialami pasukan bagi mencari dana menyelesaikan masalah gaji, PFAM tetap berusaha memastikan hak pemain dibela sewajarnya dan tidak sesekali dipinggirkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunggakan gaji: Jangan 'beri muka' kepada persatuan bermasalah - Khalid Ali

"PFAM juga turut bersetuju dengan tindakan dan pandangan MFL yang diterajui Tunku Ismail, bahawa tindakan tegas adalah langkah terbaik untuk menangani isu tunggakan gaji pemain,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan tegas dikenakan ke atas pasukan, yang mengambil ringan berkenaan isu gaji pemain itu merupakan satu langkah yang tepat, dan ia membuktikan bahawa era lapuk tunggakan gaji akan diperangi sehabis-habisnya, oleh MFL selaku badan pengelola Liga-M.

"PFAM amat menyambut baik usaha MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), dalam membantu menyelesaikan isu gaji ini melalui mekanisme pemotongan geran.

Izham (kanan) berjabat tangan dengan Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) selepas menandatangani Memorandum Persefahaman PFAM-FAM pada Mei 2017.

"Hukuman yang tegas seperti potongan mata, embargo perpindahan, larangan mengambil pemain baru dan penggantungan penyertaan perlu dikuatkuasakan, dan tiada kompromi terhadap pasukan yang terus sambil lewa dalam isu tunggakan gaji," tambah beliau.

Pada masa sama, Izham mengingatkan bahawa para pemain sama seperti insan biasa, tetapi menjadikan karier bola sepak sebagai sumber pendapatan, selain menyeru setiap pemegang taruh untuk terus berjuang membela nasib pemain bola sepak.

"Apa yang kita lihat di atas padang itu mungkin sekadar satu permainan, tetapi itulah perjuangan hidup seorang pemain bola sepak profesional. 

"Buat semua pemegang taruh, teruskan bersatu dalam usaha membela nasib pemain, menyumbanglah mengikut kapasiti masing-masing, kerana tanpa pemain, tiadalah bola sepak.

"Bagi pasukan, ini bukanlah berniat untuk berlaku zalim, tetapi ini adalah satu langkah ke hadapan untuk memastikan nilai profesionalisme terus dijunjung,” jelas beliau. - Bernama

PFAM

Artikel Lain